BERITA SEMASA

Nurul Izzah nafi dakwaan haji mewah, akui guna pesawat komersial dan belanja sendiri

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tampil menafikan tuduhan kononnya beliau dan suami, Yin Shao Loong, mengikuti pakej haji mewah serta menaiki jet peribadi ke Tanah Suci.

Menurut Nurul Izzah, kenyataan tersebut adalah fitnah yang tidak benar sama sekali.

Beliau menjelaskan bahawa perjalanan mengerjakan ibadah haji mereka adalah menggunakan visa mujamalah, penerbangan komersial, serta menggunakan wang simpanan sendiri .

“Tiada jet peribadi seperti yang difitnah. Perjalanan dibuat sama seperti jutaan jemaah haji lain,” tegas beliau dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut berkata, urusan logistik seperti penginapan dan pengangkutan di Tanah Suci diuruskan oleh agensi pelancongan berlesen, Mimm Travel.

Semasa berada di Madinah, Nurul Izzah dan suami turut menghadiri sesi ilmu bersama ulama terkenal seperti Sheikh Dr Omar Suleiman, Dr Tahir Wyatt dan Ustaz Dr Mohd Amirul Hassan Ahmad Tajuddin.

Rasa keinsafan dan syukur beliau memuncak ketika menunaikan ibadah di Arafah, tempat turunnya ayat ketiga Surah Al-Maidah yang memperkuatkan agama Islam.

Nurul Izzah turut mengingatkan agar ibadah haji tidak dijadikan bahan tohmahan politik walaupun wujud perbezaan pendapat dalam arena politik.

Beliau menyeru rakyat agar saling mendoakan agar lebih ramai diberi kesempatan menjadi tetamu Allah dalam landasan yang benar dan dijauhkan daripada fitnah manusia .

Sempena peralihan jawatan dalam PKR baru-baru ini, perjalanan haji Nurul Izzah dan suami turut menjadi momen penting selepas beliau dilantik sebagai Timbalan Presiden PKR, menjelang persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 dan PRN Sabah .

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button