
NUJM gesa siasatan adil terhadap wartawan ditahan kes rasuah
CYBERJAYA – Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) menggesa siasatan yang adil dilaksanakan terhadap seorang wartawan portal berita yang ditahan kerana disyaki terlibat kes rasuah, malam tadi.
Setiausaha Agung NUJM, Teh Athira Yusof berkata, siasatan itu haruslah tidak bertujuan menekan atau menyekat sebarang kebebasan media di negara ini.
“NUJM mengambil maklum penahanan reman seorang wartawan portal berita yang juga ahli NUJM oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), malam tadi.
“NUJM dimaklumkan, dia direman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini selepas ditahan pegawai penyiasat sekitar pukul 11.30 malam tadi, mengikut Seksyen 16 Akta SPRM.
“Oleh demikian, NUJM berharap sebarang siasatan yang dilakukan oleh SPRM memberi keadilan kepada semua pihak dan tidak bertujuan menekan atau menyekat sebarang kebebasan media di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Laporan media sebelum ini berkata, penahanan wartawan portal berita tempatan itu disahkan sendiri oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
“Penahanan (wartawan itu) berhubung dakwaan kes rasuah dan bukannya mengenai pendedahan isu pendatang warga asing tanpa izin (PATI) seperti yang didedahkan portal berita berkenaan.
“Wartawan itu dipercayai menerima sejumlah wang daripada seorang ejen pekerja warga asing berjumlah RM20,000 dan ketika tangkapan wang berkenaan ada bersamanya,” katanya.
Sementara itu, wartawan berkenaan telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi, di mana Majistret Baveniyah R Jothi membenarkan wartawan itu ditahan reman bermula hari ini sehingga Selasa susulan permohonan SPRM.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |