BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Nilai perdagangan ASEAN-GCC dijangka melonjak kepada RM757 bilion menjelang 2032

KUALA LUMPUR – Potensi nilai dagangan antara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN dijangka melonjak kepada AS$180 bilion (RM757 bilion) menjelang 2032, berbanding AS$130.7 bilion (RM550.2 bilion) yang direkodkan pada 2023.

Presiden Majlis Tertinggi GCC yang juga Putera Mahkota Kuwait, Sheikh Sabah Al-Khalid Al-Sabah menggesa agar rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dimuktamadkan, sekali gus menggalakkan pelaburan bersama.

“Kami menantikan hasil positif daripada rundingan yang sedang berlangsung bagi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kedua-dua pihak, yang akan merangsang peluang pelaburan dan menyokong rantaian bekalan serantau,” katanya.

Baca juga : Sidang Kemuncak ASEAN: Cerminan keupayaan digital, kepercayaan siber Malaysia di mata dunia

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Tambah Sheikh Sabah, GCC menegaskan komitmennya untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama ASEAN melalui pelbagai inisiatif pembangunan mampan, keselamatan, ekonomi dan hubungan kemanusiaan rentas serantau.

Selain itu, beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas penganjuran Sidang Kemuncak Kedua GCC-ASEAN, yang disifatkannya sebagai titik penting dalam perjalanan kerjasama dua blok ekonomi utama dunia.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan seluruh rakyat Malaysia atas layanan dan pengurusan cemerlang yang diberikan,” katanya.

Sebagai rekod, gabungan GCC dan ASEAN kini mewakili lebih 740 juta penduduk dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar AS$6trilion, selain menguasai antara laluan perdagangan terpenting dunia.

Beliau berkata, GCC turut menegaskan komitmen terhadap prinsip saling menghormati kedaulatan negara, tidak campur tangan dalam hal dalaman serta menggalakkan dialog terbuka demi kestabilan politik dan keselamatan serantau.

Dalam pada itu, bagi memperkukuh hubungan budaya, beliau mencadangkan agar tahun 2026 diisytiharkan sebagai Tahun Perpaduan Budaya GCC-ASEAN.

“Kami turut menyeru supaya inisiatif bersama dalam pemerkasaan belia dan wanita dimasukkan dalam pelan tindakan melalui program latihan, pembangunan kemahiran dan projek keusahawanan yang mencerminkan aspirasi generasi baharu di kedua-dua rantau,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button