BERITA SEMASA

Nik Elin akui terima ugutan bunuh

CYBERJAYA – Peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid mengakui ada menerima ugutan bunuh, dipercayai akibat tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 di Mahkamah Tinggi Persekutuan.

Susulan itu, katanya, dia telah membuat laporan polis berhubung ugutan tersebut.

Beliau berkata, orang ramai perlu membaca bagi memahami tindakannya mencabar peruntukan tersebut dan memahami undang-undang dengan lebih baik.

“Banyak ancaman dalam hidup saya, begitu juga serangan secara dalam talian lain dan (ancaman untuk) ‘sembelih’ saya.

“Saya sudah tidak ingat berapa banyak ancaman yang diterima kerana semua individu ini tidak faham.

“Mereka hanya mengikut arahan pemimpin politik secara membuta tuli,” katanya dalam wawancara eksklusif podcast ‘Beyond the Headlines’ bersama New Straits Times.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempatisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut.

Mengulas lanjut, Nik Elin berkata, kes tersebut telah banyak dimanipulasi dan dipolitikkan sehingga mengelirukan orang ramai.

Jelas Nik Elin, langkah mencabar beberapa seksyen jenayah syariah dalam enakmen tersebut tidak kaitan dengan politik.

“Islam mengajar kita tentang cinta, belas kasihan dan kedamaian tetapi tindakan mereka (ahli politik tertentu) adalah bertentangan dengan ini.

“Ini hanyalah cabaran (undang-undang) yang kami buat bagi pihak rakyat Malaysia.

“Mudah-mudahan mereka akan membuka minda mereka. Ahli politik memilih untuk mengambil langkah terdesak,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button