BERITA SEMASADALAM NEGERI

NHMS 2024 dedah corak pemakanan rakyat Malaysia membimbangkan

KUALA LUMPUR – Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024 yang dilancarkan oleh oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad semalam, mendedahkan corak pemakanan rakyat Malaysia yang semakin membimbangkan dan memberi kesan serius kepada kesihatan awam.

Melalui satu hantaran di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dapatan utama tinjauan tersebut menyatakan sebanyak 63 peratus remaja dan 47 peratus orang dewasa mengambil gula berlebihan.

Dzulkefly menunjukkan laporan NHMS 2024 yang memaparkan penemuan corak pemakanan rakyat Malaysia yang semakin membimbangkan. 

Manakala 76 peratus orang dewasa mengambil garam melebihi had disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Selain itu, 42 peratus remaja dan 34 peratus dewasa dikesan gemar makan makanan berat lewat malam – satu tabiat yang dikaitkan dengan pelbagai risiko kesihatan.

Laporan itu turut mendedahkan hampir semua responden kekurangan pengambilan kalsium, Vitamin C dan A, manakala kurang daripada 1 peratus orang dewasa mengambil susu dalam kuantiti yang mencukupi setiap hari.

Bagi menangani isu ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan beberapa inisiatif.

Antaranya pengecilan saiz paket gula dari 5 gram (g) kepada 3 g, peningkatan cukai minuman bergula bermula tahun 2025 dan melaksanakan kempen #WarOnSalt yang akan diperluas ke seluruh negara.

Tidak ketinggalan, KKM turut mengarahkan penyajian makanan berat pada waktu malam dalam majlis-majlis rasmi dihentikan di samping memperkasakan pendidikan pemakanan melalui sekolah, komuniti dan farmasi.

KKM juga menyeru orang ramai agar tidak menunggu sehingga jatuh sakit untuk mula menjaga pemakanan.

“Mulakan hari ini. Kurangkan gula, kawal garam dan lebihkan pengambilan buah serta sayur-sayuran,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KKM juga memaklumkan bahawa saringan pemakanan percuma kini ditawarkan di semua klinik kesihatan awam.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Suriani Datuk Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Nur Fariza Ngah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button