
New York hos perlawanan akhir Piala Dunia 2026
NEW YORK – Bandar raya New York diisytihar sebagai lokasi perlawanan akhir Piala Dunia 2026 nanti.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dalam satu kenyataan pada Ahad mengumumkan, perlawanan itu akan dianjurkan di Stadium MetLife.
New York mengenepikan bidaan Dallas untuk memastikan perlawanan final diadakan di bandar raya itu dalam temasya yang dihoskan secara bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Perlawanan pembukaan temasya pada 2026 tersebut ditetapkan di Stadium Azteca, Mexico pada 11 Jun 2026.
“Piala Dunia FIFA yang paling inklusif dan memberi impak bukan lagi impian tetapi realiti yang akan dibentuk dalam 104 perlawanan di 16 stadium terkini di seluruh Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.
“Daripada perlawanan pembukaan di Estadio Azteca yang ikonik hingga ke perlawanan akhir yang menakjubkan di New York, pemain dan peminat telah menjadi teras kepada perancangan luas kami untuk kejohanan yang mengubah permainan ini.
“Ia bukan sahaja akan mencipta rekod baharu tetapi juga meninggalkan legasi yang tidak dapat dilupakan,” kata kenyataan itu.
Atlanta dan Dallas akan menjadi tuan rumah kepada pusingan separuh akhir, manakala perlawanan tempat ketiga akan dimainkan di Miami.
Bagi pusingan suku akhir, Los Angeles, Kansas City, Miami dan Boston akan menjadi lokasi perlawanan.
Sebanyak 16 bandar di seluruh tiga negara akan menganjurkan perlawanan dengan sebahagian besar perlawanan diadakan di Amerika Syarikat.
Untuk rekod, kali terakhir Amerika Syarikat mnejadi tuan rumah Piala Dunia adalah pada 1994 dengan perlawanan akhir berlangsung di Rose Bowl Pasadena, Los Angeles.
New York menganjurkan perlawanan pada kejohanan itu di Stadium Giants lama, yang kemudiannya dirobohkan untuk memberi laluan kepada MetLife, yang dibuka pada 2010.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






