BERITA SEMASA

NC UiTM beri penjelasan pelantikan Siti Nurhaliza sebagai Profesor Adjung

SHAH ALAM – Pelantikan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sebagai Profesor Adjung Universiti Teknologi MARA (UiTM) adalah langkah strategik bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan universiti dan memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar melalui sentuhan dunia sebenar.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, institusi pendidikan tinggi perlu memperkasakan peranan mereka dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut memiliki daya saing, sikap berani dan semangat keusahawanan yang tinggi.

Menurutnya, sejarah membuktikan kejayaan tokoh perniagaan tidak hanya bergantung kepada kelulusan akademik, sebaliknya kepada disiplin, sikap dan keberanian mengambil risiko.

“Tokoh seperti Michael Dell (Dell Technologies), Richard Branson (Virgin Group), Colonel Harland Sanders (KFC), Steve Jobs (Apple Inc.), serta usahawan tempatan seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Tan Sri Lim Goh Tong, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Tan Sri G. Gnanalingam adalah antara individu yang berjaya walaupun tanpa ijazah universiti.

NC UiTM beri penjelasan pelantikan Siti Nurhaliza sebagai Profesor Adjung
Foto NC UITM

“Mereka memiliki ciri keusahawanan yang hampir sama iaitu kerja keras, disiplin tinggi, visi jangka panjang, keberanian meninggalkan zon selesa, serta kebijaksanaan mengenal pasti peluang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Profesor Shahrin berkata, walaupun pendidikan tinggi bukan satu-satunya laluan kejayaan, namun ia menjadi pelengkap penting bagi memperkukuh potensi dan kebolehan seseorang individu.

Beliau turut menambah, ramai usahawan berpendidikan tinggi berjaya menggabungkan ilmu akademik dengan kebijaksanaan keusahawanan, termasuk Tan Sri Tony Fernandes (AirAsia Group) yang menuntut di London School of Economics (LSE) dan Tan Sri Jeffrey Cheah (Sunway Group) dari Victoria University, Australia.

“UiTM komited melahirkan usahawan serta profesional Bumiputera yang berdaya saing. Untuk itu, pengalaman dunia sebenar perlu dibawa ke bilik kuliah agar graduan UiTM bukan sekadar ‘book smart’, tetapi juga ‘street smart’,” katanya lagi.

Beliau berkata, UiTM akan terus memperkukuh pelaksanaan Pelan Strategik Globally Renowned University 2025 (GRU2025) bagi memastikan universiti itu kekal unggul dan relevan dengan keperluan pasaran.

“Globally Renowned, Locally Rooted — Demi Agama, Bangsa dan Tanah Air,” katanya lagi.

Sebelum itu, Siti Nurhaliza, 46, dilantik sebagai Profesor Adjung UiTM bagi tempoh dua tahun bermula 15 Oktober 2025 hingga 15 Oktober 2027, sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan beliau dalam bidang keusahawanan.

Profesor Shahrin berkata, pelantikan itu bukan sahaja mengiktiraf kejayaan penyanyi kelahiran Temerloh, Pahang tersebut sebagai ikon seni negara, tetapi juga sebagai usahawan wanita berdaya saing yang berjaya mengembangkan empayar perniagaan hingga ke peringkat antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button