Berita Semasa

Nazri Aziz tamat khidmat duta, fokus bantu Anwar PRU16

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Nazri Aziz mengesahkan bahawa tempoh perkhidmatannya sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) akan berakhir esok selepas dua tahun berkhidmat di Washington.

Bekas Menteri Pelancongan itu turut menolak sebarang kemungkinan untuk menyambung kontrak dengan alasan ingin membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Tak boleh saya nak tolong PMX… kalau saya di AS sahaja kena balik 2027 (jika kontrak disambung dua tahun), PRU dah terlepas.

“Saya tak peduli orang lain dan akan bantu dia… bukan bertanding (sebagai calon pada PRU16),” memetik laporan FMT.

Nazri berkata, pelantikannya sebagai duta adalah untuk tempoh dua tahun kerana beliau merupakan lantikan politik, bukan diplomat.

“Jadi esok hari terakhir dan saya telah buat persiapan untuk balik Malaysia 14 Februari depan, iaitu seminggu sebelum visa saya tamat,” katanya lagi.

Nazri dilantik sebagai duta sejak 9 Februari 2023 berdasarkan pengalamannya dalam pentadbiran negara.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Usahawan (1999-2004), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) (2004-2013), serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan (2013-2018).

Susulan tamatnya perkhidmatan Nazri, bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, mencadangkan lima individu untuk dipertimbangkan sebagai duta baharu ke AS.

Antara nama yang dicadangkan termasuk Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz; bekas Pengerusi CIMB, Nazir Razak; bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff; serta Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, Faiz Abdullah.

Kian Ming turut mendakwa Nazri gagal mengatur panggilan telefon antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden AS, Donald Trump yang menurutnya penting dalam hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Mengulas dakwaan tersebut, Nazri membidas Kian Ming sebagai dangkal jika menjadikan panggilan telefon dengan Trump sebagai ukuran kejayaan diplomatik.

“Kalau Anwar tak dapat bercakap dengan Trump bukan bermakna Malaysia ada kekurangan kerana kita menyokong Palestin.

“Kita kena baca bahawa hubungan Malaysia dengan AS satu peringkat bawah berbanding negara yang Ong sebutkan (Filipina, Thailand dan Singapura) kita kena faham pendirian kita keras mengutuk Israel.

“Trump tak suka pendirian kita dan kalau dia tak nak bercakap dengan Anwar, biarlah. Mengapa kita perlu rasa kurang?” katanya lagi.

Nazri turut berkata, beliau telah mencapai beberapa kejayaan sepanjang dua tahun sebagai duta, termasuk peningkatan pelaburan negara, kenaikan Malaysia ke Tahap 2 dalam Laporan Jabatan Negara AS mengenai Pemerdagangan Orang 2024, serta membawa pulang dua rakyat Malaysia yang dipenjara di Guantanamo.

“Kalau nak dianggap mengenai kejayaan, ini adalah kejayaan. Jadi pandangan Ong tak boleh dipakai kerana dia cakap benda tidak munasabah,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button