Najib berhak rayu pengampunan, kes sedia ada masih berjalan – PM
KUALA LUMPUR – Kerajaan dan Perdana Menteri menghormati keputusan dan hak Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan Pengampunan Diraja sebagaimana yang layak untuk rakyat negara ini.
Bahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Najib yang merupakan bekas perdana menteri juga berhak merayu sekali lagi untuk mendapatkan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong yang baharu, Sultan Ibrahim.
“Datuk Seri Najib telah melalui proses undang-undang dan kini berada dalam penjara. Tetapi menjadi hak setiap rakyat yang didakwa untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Beliau berhak merayu kepada Yang di-Pertuan Agong yang baharu. Saya rasa proses itu perlu dihormati, ia melangkaui kuasa Perdana Menteri atau kerajaan,” katanya dalam tembual bersama Al-Jazeera hari ini.
Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan Dan Putrajaya Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri pada petang ini mengumumkan pengurangan hukuman dan denda yang perlu dibayar oleh Najib sebanyak 50 peratus.
Anwar berkata, keputusan pengampunan itu telah dipersetujui dan diputuskan Lembaga Pengampunan melalui proses yang ditetapkan secara teliti.
“Saya menghormati keputusan itu. Sekarang kita mempunyai Yang di-Pertuan Agong yang baru. Apa saja yang dirasakan, sudah tentu ia sangat politik, ada yang menyokong, ada yang tidak,” katanya.
Bagaimanapun katanya, pengampunan yang diterima itu tidak memberi kesan kepada kes yang masih berjalan dan dihadapi Najib.
“Kini Lembaga Pengampunan telah membuat keputusan. Jika seseorang berpuas hati itu adalah pengadilannya, jika tidak berpuas hati dia masih mempunyai jalan untuk merayu pada peringkat kemudian,” katanya.
Anwar berkata, keputusan dan kedudukan Yang Dipertuan Agong perlu dihormati sebagai benteng untuk menegakkan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“Saya sendiri pernah duduk di Lembaga Pengampunan sebagai menteri yang menjaga Kuala Lumpur, dan kini dipegang oleh orang lain.
“Tetapi sudah tentu raja sebagai Raja Berperlembagaan, baginda berunding dengan Peguam Negara, Perdana Menteri dan ramai lagi,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






