Naik taraf lesen B1, B2 lebih 10 tahun kepada B Penuh bermula 1 Oktober ini
PUTRAJAYA – Proses naik taraf lesen kelas B1 dan B2 kepada B penuh yang ditawarkan kepada pemilik lesen sudah lebih 10 tahun masih memerlukan pemohon mengikuti program peralihan khas, bebas senarai hitam dan tunggakan saman.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tawaran naik taraf yang bermula pada 1 Oktober ini menetapkan beberapa syarat antaranya menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian motosikal berkuasa 500cc ke atas dan bayaran kos yuran sebanyak RM160.
Selain itu katanya, pemohon juga perlu menjalani ujian menunggang, kursus informasu pemanduan selamat dan pengoperasian motosikal berkuasa tinggi yang dianggar mengambil masa selama dua jam.
“Melalui program amali itu, pemohon perlu mendapatkan pengesahan tahap keupayaan mengendalikan motosikal berkuasa besar oleh ‘Qualified Training Officer’ (QTO) di Institut Memandu,” katanya.
Loke berkata, program peralihan tersebut bertujuan menguji tahap kompetensi dan keupayaan pemohon dalam pengendalian jentera berkuasa besar demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan peringkat Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.
Katanya, syarat lain yang ditetapkan termasuk bebas dari senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat atau sebarang perkara di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Sementara itu, Loke juga memaklumkan kerajaan akan menggabungkan kelas lesen B1 dengan B2 ekoran permintaan mendapatkan lesen B1 yang terlalu rendah.
“Bermula 1 Oktober ini, tiada lagi program mendapatkan lesen kelas B1 dibuka kepada umum.
“Dengan mendapatkan LMM motosikal kelas B, individu layak memandu semua kuasa (cc) motosikal dan tidak terhad kepada motosikal berkuasa 499cc ke bawah sahaja bagi kelas B1.
“Bagi pemegang lesen B1 sedia ada, mereka akan kekal di kategori berkenaan atau boleh menjalani program khas di atas bagi mendapatkan kelas B,” katanya.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengklafikasikan lesen memandu Kelas B2 bagi motosikal tidak melebihi 250cc, manakala Kelas B membabitkan motosikal melebihi 500cc.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mencadangkan pemegang lesen B1 dan B2 dinaik taraf secara automatik kepada B Penuh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






