
Naik taraf bumbung TPS Lengkok Burma beri keselesaan kepada penjaja
GEORGETOWN – Projek naik taraf bumbung di Tapak Penjaja Sementara (TPS) Lengkok Burma dengan kos RM100,000 bagi meningkatkan keselesaan dan kemudahan kepada penjaja serta pengunjung di kawasan berkenaan.
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata, projek tersebut dibiayai menerusi peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) 2024 dan dijangka memberi impak positif kepada ekonomi komuniti setempat.
“Projek ini melibatkan kerja-kerja penggantian dan pemasangan bumbung baharu serta penambahbaikan struktur berkaitan, sekali gus memberi suasana lebih selesa dan teratur kepada penjaja.
“TPS ini menempatkan kira-kira 10 penjaja yang menawarkan pelbagai juadah seperti roti bakar, wan tan mee, nasi ekonomi, char kuetiau, buah-buahan dan bubur ayam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, projek berkenaan dikendalikan oleh syarikat kontraktor Mega Granite Enterprise dan telah dimulakan pada 15 Januari 2025 sebelum siap sepenuhnya pada 14 April lalu.
Syerleena berkata, sektor penjaja merupakan nadi penting kepada kehidupan bandar dan perlu diberi sokongan dari segi kemudahan asas agar dapat terus berkembang.
“Kami berusaha memastikan kelangsungan perniagaan mereka terjamin melalui projek-projek bersifat kemasyarakatan seperti ini.
“Ini juga sebahagian daripada usaha berterusan memperkasakan penjaja kecil dan sederhana di kawasan Parlimen Bukit Bendera,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |