
127 kontraktor dilantik naik taraf 121 sekolah padat – Ahmad Maslan
SHAH ALAM – Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini meyerahkan 127 surat setuju terima (SST) kepada kontraktor yang akan terlibat dalam projek menaik taraf 121 sekolah padat di enam buah negeri.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek berkenaan melibatkan pembinaan 127 bilik darjah di Selangor, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu dan Pulau Pinang dengan peruntukan berjumlah RM88 juta, lapor BERNAMA.
“Daripada jumlah itu, Selangor mencatat jumlah SST tertinggi dengan 111 bilangan kerja, diikuti Perak (tujuh), Pahang (empat), Negeri Sembilan (tiga), manakala Terengganu dan Pulau Pinang masing-masing satu projek.
“Skop projek melibatkan pembinaan 117 bilik darjah perdana dan 10 bilik darjah bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), menggunakan reka bentuk berkonsepkan Sistem Binaan Berindustri (IBS),” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan SST di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, di sini hari ini.
Penggunaan IBS bukan sahaja mempercepatkan proses pembinaan, malah menjamin kualiti binaan yang lebih baik dan mampan, dengan semua projek disasarkan siap sepenuhnya pada penghujung Oktober ini.
Beliau berkata, pelaksanaan projek berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Madani yang mengutamakan projek rakyat bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di samping mewujudkan ekosistem pendidikan kondusif.
“Projek ini adalah langkah proaktif Kementerian Pendidikan (KPM) dalam usaha mencapai sasaran pelaksanaan sistem persekolahan satu sesi menjelang 2030.
“Selain itu, kementerian juga mahu menyediakan kemudahan yang lebih moden dan selesa serta menyokong persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang kondusif untuk murid, guru dan warga sekolah,” katanya lagi.
Sebanyak 14 jurutera JKR daerah turut dilantik bagi memantau kerja-kerja pembinaan di semua sekolah terlibat.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |