
Nahas UPSI bukan akibat kerosakan mekanikal – Menteri Pengangkutan
KUALA LUMPUR – Kemalangan tragis yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik pada 9 Jun lalu bukan berpunca daripada kegagalan mekanikal bas yang dinaiki.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, laporan awal teknikal yang disediakan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mendapati sistem brek bas tersebut berada dalam keadaan baik dan memuaskan.

“Laporan menunjukkan komponen brek seperti ‘lining’ dan ‘drum’ pada semua gandar tidak mengalami kehausan luar biasa atau kerosakan.
“Tiada tanda ketidakseragaman pada ‘drum’ brek atau kenipisan pada ‘lining’ brek yang boleh menjadi punca kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Anthony, pemeriksaan ke atas tayar juga mendapati ketebalan bunga tayar mematuhi piawaian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala sistem stering dan suspensi juga berfungsi dengan baik.
“Tiada bukti kegagalan mekanikal dikesan. Oleh itu, kemalangan ini berkemungkinan besar disebabkan faktor lain seperti kecuaian manusia atau keadaan jalan,” tambah beliau.
Katanya lagi, kementerian mengambil langkah proaktif mendedahkan penemuan awal ini bagi membantu siasatan pihak berkuasa dan memastikan orang ramai mendapat maklumat tepat mengenai tragedi yang menggemparkan negara itu.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa keselamatan jalan raya terus menjadi keutamaan kerajaan.
“Langkah penambahbaikan akan dipertimbangkan berdasarkan hasil siasatan akhir kelak. Penguatkuasaan terhadap piawaian keselamatan, kelayakan pemandu dan pemantauan syarikat pengangkutan akan terus diperkukuh.
“Kami komited memastikan keadilan ditegakkan dan tragedi seperti ini tidak berulang,” tegas Anthony.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |