
[KEMAS KINI] Nahas Double Six: Pengendali penerbangan beroperasi tanpa lesen
Maklumat didedahkan tribunal Australia
CYBERJAYA – Syarikat penerbangan Sabah Air yang mengendalikan pesawat Nomad N22B 9M-ATZ yang terlibat dalam nahas ‘Double Six’ pada 1976 didapati beroperasi tanpa lesen.
Maklumat tersebut terkandung dalam laporan siasatan tribunal Australia mengenai nahas tersebut yang didedahkan hari ini.
Menurut laporan tersebut, Sabah Air menghantar draf manual operasi syarikat itu pada akhir 1975 tetapi tidak pernah diluluskan oleh Jabatan Penerbangan Awam.
“Berhubung perkara itu, Sabah Air beroperasi secara haram,” kata laporan itu.
Menurut tribunal itu lagi, beberapa fakta ditemukan semasa proses siasatan yang mendedahkan bukan sahaja “operasi yang lemah” oleh Sabah Air tetapi juga “kegagalan di pihak CAD” dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pihak berkuasa yang memberi kelulusan.
“Maklumat ini diperincikan sebagai relevan dengan kemalangan itu kerana jika dilihat dengan jelas, lambat laun, satu insiden pasti akan berlaku,” katanya.
Susulan kemalangan itu, pembuat GAF Nomad dari Australia dan Jabatan Pengangkutan negara itu melancarkan siasatan untuk membuktikan nahas bukan disebabkan masalah mekanikal.
Laporan itu juga menyatakan pasukan penyiasat kemalangan, GAF dan Jabatan Pengangkutan menyiapkan laporan awal untuk menteri persekutuan yang bertanggungjawab membentangkannya pada mesyuarat Kabinet.
Susulan mesyuarat Kabinet, menteri berkenaan enggan mengeluarkan kenyataan akhbar tetapi bersetuju GAF boleh menasihati pelanggan dan pengendalinya bahawa hasil siasatan menjamin struktur integriti pesawat.
Bagaimanapun, pegawai Australia tidak dibenarkan membuat sebarang pendedahan mengenai siasatan tribunal itu kepada umum.
Laporan awal menyatakan punca kemalangan itu ialah juruterbang telah “membenarkan pesawat membawa beban melebihi had pusat graviti dan keadaan itu menyebabkan pesawat hilang kawalan dan terhempas ketika mahu mendarat.”
Sebanyak 11 nyawa terkorban dalam tragedi Double-Six termasuk barisan pimpinan kanan Kerajaan Negeri Sabah ketika itu iaitu Fuad (Ketua Menteri Sabah); Datuk Peter Joinod Mojuntin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah); Datuk Chong Thien Vun (Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah dan Datuk Salleh Sulong (Menteri Kewangan Sabah).
Turut terkorban adalah Datuk Darius Binion (Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah); Datuk Wahid Peter Andau (Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah); Dr Syed Hussein Wafa (Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah) dan Ishak Atan (Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia).
Selain itu, Koperal Said Mohammad (pengawal peribadi kepada Ketua Menteri Sabah); Johari Fuad Stephens (anak kepada Ketua Menteri Sabah) dan Gandhi J Nathan (juruterbang pesawat 9M-FTZ) turut terkorban.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








