Nadzmi Adhwa dakwa klinik kesihatan kosong: Fikir dulu sebelum nak viral – Dr Sakinah
KUALA LUMPUR – Pegawai perubatan, Dr Sakinah Sulong menasihatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru menularkan isu membabitkan perkhidmatan Kementerian Kesihatan (KKM) tanpa menyemak fakta sebenar.
Beliau berkata demikian selepas seorang suami selebriti tampil memohon maaf kerana memuat naik video yang mendakwa kaunter di sebuah klinik kesihatan kosong sehingga mencetuskan salah faham terhadap petugas KKM.
“Saya terima dengan baik permohonan maaf suami selebriti ini. Tapi saya minta lain kali, fikir dulu sebelum nak viralkan atau buruk-burukkan perkhidmatan KKM,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Menurut Dr Sakinah, si pelaku sebenarnya hadir ke klinik berkenaan ketika waktu rehat tengah hari dan telah dimaklumkan oleh kakitangan bahawa kaunter ditutup sementara waktu bagi memberi ruang kepada petugas berehat dan menunaikan solat.
“Rupa-rupanya dia datang masa lunch hour dan teman anak buah buat medical check-up. Kakitangan pun dah terangkan sebelum itu yang kaunter tutup semasa lunch hour,” katanya lagi.
Dr Sakinah berkata, waktu rehat perlu dihormati kerana kebanyakan klinik kini berdepan masalah kekurangan tenaga kerja.
“Kakitangan KKM sekarang memang tak cukup. Takkan masa lunch hour pun nak langgar untuk buka servis? Klinik tetap terima kes kecemasan, tapi medical check-up bukan kes kecemasan,” katanya lagi.
Dr Sakinah turut berkata, proses mendapatkan rawatan di klinik bukan sekadar bertemu doktor dan menerima ubat, sebaliknya melibatkan pemeriksaan rapi termasuk sejarah pesakit, ujian makmal serta X-ray yang memerlukan kerjasama pelbagai anggota kesihatan.
“Ramai ingat datang klinik jumpa doktor tu mudah, tapi sebenarnya prosesnya panjang dan memerlukan ramai petugas.
“Kalau nak biarkan seorang dua saja kerja masa lunch hour, memang tak mampu,” katanya lagi.
Beliau turut berharap agar tiada tindakan dikenakan terhadap kakitangan yang bertugas di klinik berkenaan susulan kejadian tular itu.
“Harapnya tak adalah bos di klinik tu ambil tindakan terhadap staff terbabit. Kena viral tanpa sebab bukan perkara kecil. Ingat, kakitangan pun manusia, bukan robot,” katanya lagi.
Dalam hantaran sama, Sakinah turut berkongsi tangkap layar permohonan maaf individu terbabit yang mengakui kesilapannya.
“Andai ada tersalah kata, tersalah bicara saya mohon maaf. Semua yang baik itu dari Allah, yang buruk dari saya. Mohon maaf seikhlas hati,” tulis suami selebriti itu.
Sementara itu, pengguna media sosial menyokong teguran Dr Sakinah dan menyifatkan tindakan segelintir pihak yang terburu-buru menularkan isu tanpa usul periksa boleh menjejaskan imej keseluruhan warga kerja KKM.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






