
Nadir Al-Nuri dedah PM individu penting yang bawa keluarganya keluar dari Gaza
KUALA LUMPUR – Selepas beberapa hari ‘berahsia’, akhirnya Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman mendedahkan siapakah watak penting yang berusaha membawa keluarganya keluar dari Gaza, Palestin.
Menerusi satu hantaran dalam laman Facebooknya, Nadir berkata, individu berkenaan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya menggunakan kaedah diplomasi untuk membawa keluar mereka dari zon bahaya.
Nadir yang menggangap misi itu sebagai ‘misi gila’ berkata, pada mulanya beliau Dr Sani Araby daripada MAPIM telah diberi peluang bertemu Perdana Menteri dalam satu majlis sebelum ini.
Rentetan itu katanya, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Farhan Fauzi yang merupakan watak penting dalam mengusahakan misi itu sering menjemput mereka ke pejabatnya di Putrajaya.
“Saya bersama sahabat merangkap kekanda kami, Sani Araby diberikan peluang bertemu watak utama misi menyelamat sebulan lepas di satu majlis di Shah Alam, beberapa hari sebelum beliau ke Berlin.
“Dalam ramainya orang, sempat saya maklumkan keluarga terkandas di Rafah. Beliau hanya sempat membelek kiriman kami, memberikan respon ringkas ‘saya akan bantu’ dan terus menaiki kenderaannya memecut ke majlis seterusnya.
“Hati saya mula luluh, mungkin itu bahasa orang politik saja. Namun dalam surat saya, ada saya akhiri ayat dengan ‘Kepada Allah jualah kami berserah’. Saya langsung tawakal dan dan serahkan segalanya kepada Allah.
“Sehari sebelum Aidilfitri, saya dihubungi Setiausaha Politik PMX, watak penting yang mengusahakan misi ini. Sejak awal peperangan beliaulah yang kerap menjemput kami ke pejabatnya di Putrajaya dan selalu menghubungi kami bertanyakan keadaan keluarga dan perkembangan di Gaza.
“Kali ini nadanya berbeza, agak serius dan beliau memaklumkan kami untuk datang ke satu lokasi khas. Saya dan Sani saja dibenarkan ke sana! Allahuakbar. Ada apa pula ni? Saat sampai ada kenderaan hitam menanti. Risau juga macam dalam movie.
“Alangkah terkejutnya saya saat pintu dibuka, saya diterpa anakanda yang selalu hadir dalam mimpi sekian malam. Air mata seorang ayah sudah bertakung tak mampu menahan kerinduan,” tulisnya.

Dalam pada itu, Nadir turut melahirkan kekaguman terhadap Perdana Menteri yang lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin di Gaza.
“Suka beliau atau tidak, dalam soal Palestin umat perlukan satu ketumbukan. Palestin pernah bergantung kepada garangnya Saddam Hussein, kemudian lantangnya Erdogan. Kini tiba giliran kita dan yang boleh kita banggakan ialah ketegasan Malaysia dalam bersolidariti.
“Tindakan PMX menghalang kemasukan kapal milik penjajah ke pelabuhan kita, ketegasan menyatakan sokongan kepada Hamas dan mutakhir jawapan berpendirian di hadapan Chancellor German menjadikan nama Malaysia disebut-disebut di kalangan marhaen di jalanan bumi penuh keberkatan selain menjadi bual bicara di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu Nadir turut menggesa supaya semua pihak terus bersatu membela nasib saudara Islam di sana.
“Untuk PMX, Pejabat Perdana Menteri (PMO), Sani dan semua pihak yang menjayakan usaha ini samada secara langsung mahupun mendoakan, kami sekeluarga mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga.
“Semoga Allah sahaja membalas jasa kalian semua, ameen,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






