BERITA SEMASA

NADI Sim Sim perkasa usahawan, tingkat celik digital komuniti

SANDAKAN – Program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sim Sim, Sandakan menjadi platform penting dalam memperkasa usahawan tempatan dan meningkatkan celik digital dalam kalangan komuniti.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Program Perkhidmatan Pintar NADI itu bertujuan merapatkan jurang digital dan sosial di samping memperkukuh kerjasama antara agensi untuk menjayakan agenda digital negara.

“Melalui inisiatif ini, kita bukan sahaja meningkatkan kemahiran penggunaan teknologi dalam kalangan komuniti, tetapi juga membuka peluang keusahawanan digital agar rakyat dapat menjana pendapatan tambahan,” katanya ketika merasmikan program berkenaan, di sini, hari ini.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuk Kempen Internet Selamat, pameran aktiviti Perkhidmatan Pintar NADI, promosi produk usahawan NADI, Jualan Agro MADANI anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), saringan kesihatan percuma, bengkel microbit, pertandingan e-Sukan serta pendaftaran ahli baharu NADI.

Fahmi berkata, Kempen Internet Selamat memberi fokus kepada pelajar bawah 13 tahun dengan pendedahan kepada penggunaan Internet secara beretika serta bahaya risiko siber seperti buli, pemangsaan dan kandungan tidak sesuai.

NADI Sim Sim

“Selain itu, NADI Sim Sim terus komited memperkasakan komuniti melalui lima teras utama Perkhidmatan Pintar iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran dan inisiatif kerajaan.

“Hasil daripada program latihan dan sokongan digital yang disediakan, ramai usahawan setempat berjaya meningkatkan pendapatan dan kini mampu memasarkan produk mereka secara dalam talian menerusi platform seperti Facebook, TikTok, Instagram dan Shopee,” katanya lagi.

Beliau berkata, program keusahawanan NADIPreneur pula membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk mendalami aspek perancangan perniagaan, operasi, pengurusan kewangan dan strategi pemasaran.

“Selain NADI Sim Sim, terdapat tujuh lagi NADI aktif di Sandakan iaitu di Pekan Batu Sapi, PPR Taman Mesra, Taman Mawar, PPR Taman Murni, Kampung Sungai Kayu, Sebait Padas dan PPR Taman Gum Gum yang secara keseluruhan memanfaatkan lebih 12,000 komuniti sekitar,” katanya lagi.

Turut hadir pada program tersebut ialah Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Anggota Suruhanjaya MCMC, Jeneral (B) Tan Sri Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin; serta Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button