
Nabil menangis terima surat direhatkan
KUALA LUMPUR – Pelawak dan pengacara sensasi, Nabil Ahmad membuat pengakuan bahawa dia menangis apabila menerima surat direhatkan daripada bertugas sebagai penyampai radio Era selepas terlibat dalam isu kontroversi yang dikatakan menyentuh sensitiviti perkauman baru-baru ini.
Nabil membuat perkongsian tersebut di dalam satu temu bual podcast AididItMyWay bersama bekas pengacara, Aidid Marcello.
Melalui program itu, Nabil, 42, turut berfikiran bahawa adakah kerjaya yang telah dibina sejak bertahun lalu akan berakhir begitu sahaja.
“Saya dapat surat direhatkan selepas kami (Azad Jasmin dan Radin) keluar dari Bukit Aman.

“Selepas saya baca surat itu, saya terus ke Masjid Bandar Utama dan menangis.
“Ketika ini saya terfikir, sudah habiskah? Adakah ini penghujung (kerjaya), apa yang harus saya jual ketika ini?” katanya dalam nada sebak.
Menurut Nabil lagi, situasi yang dialami memberi kesan besar kepada emosinya selain mengakui dia perlu mencari nafkah untuk keluarga dan anak-anak.
“Saya tidak pernah tak kerja, selalunya akan dapat cuti atau mohon cuti sendiri.
“Namun, kali ini berbeza kerana saya direhatkan dalam keadaan sedang bekerja dan memerlukan pekerjaan itu.
“Anak-anak juga sedang membesar, dapat surat macam itu memang mental. Macam tak percaya sebab saya dah bina kerjaya itu sehingga hari ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, Nabi memberitahu keputusan tersebut membuatkan dia mula berfikir tentang masa depan dan perancangan untuk jangka masa panjang.
“Saya pernah cakap pada diri sendiri, kalau nak jadi pengacara, jadi yang tiada ganti dan paling dinanti-nanti orang ramai.
“Macam saya, jenis harung semua jatuh dan bangun itu sendiri tapi bila sampai surat itu, rasa hancur jadinya.
“Saya terfikir ke mana nak pergi dan perancangan masa depan anak-anak. Karier ini memang tak ada ‘backup’. Kalau masa itu habis, kau pun habis,” tegasnya.
Terdahulu, tiga penyampai radio Era FM, iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendy dikecam selepas tular video mereka yang didakwa mempermainkan ritual penganut Hindu melalui tarian Kavadi pada awal Mac lalu.
Perkara itu menyebabkan pihak Astro Audio bertindak menggantung tugas ketiga-tiga deejay tersebut.
Malah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut mengenakan kompaun sejumlah RM250,000 kepada Maestra Broadcast Sdn. Bhd. atas kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |