BERITA SEMASADALAM NEGERI

MyKiosk: SPRM sedia siasat jika wujud elemen rasuah

PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memberi jaminan akan menyiasat laporan berhubung projek MyKiosk di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sekiranya wujud elemen rasuah.

Beliau berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai perkara itu berdasarkan maklumat di media sosial dan akan membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa kesimpulan.

“Ada laporan diterima, saya boleh sahkan (laporan) oleh MCA semalam dan hari ini ada pihak KPKT membekalkan beberapa dokumen (berkaitan projek MyKiosk).

“Saya beri jaminan sekiranya ada elemen rasuah, kita akan siasat. Bagi masa kepada kita untuk melihat apa-apa keterangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Projek MyKiosk mencuri tumpuan ramai apabila dikatakan terlalu mahal dan tidak sepadan dengan kemudahan yang disediakan.

Bagaimanapun, Azam berkata pihaknya belum membuka sebarang kertas siasatan setakat ini.

“Apa yang dilaporkan kepada kami adalah berdasarkan maklumat di media sosial. Jadi, kita perlu membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kesimpulan,” katanya.

Terdahulu, KPKT diwakili Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali menyerahkan dokumen berkaitan pelaksanaan projek MyKiosk kepada SPRM tengah hari tadi sebagai komitmen terhadap prinsip ketelusan dan integriti.

Tindakan itu dibuat susulan laporan Pemuda MCA Selangor yang menggesa SPRM menyiasat projek MyKiosk kerana didakwa wujud elemen penyelewengan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button