BERITA SEMASADALAM NEGERI

Mustakim Mohamad dilantik Pengarah Urusan Kumpulan, CEO baharu TH

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan pelantikan Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulannya, Mustakim Mohamad, sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu.

Mustakim yang merupakan bekas Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan TH itu menggantikan Datuk Syed Hamadah Syed Othman yang akan menamatkan kontraknya pada 5 Mei ini selepas dua tahun menerajui institusi itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu yang akan berkuat kuasa 6 Mei ini.

“Peralihan kepimpinan ini mencerminkan kekuatan TH melahirkan bakat dalaman. Tuan Haji Mustakim telah berkhidmat hampir dua dekad di TH dan diyakini mampu memikul tanggungjawab ini selari dengan usaha berterusan TH untuk menerajui kecemerlangan dari setiap sudut demi manfaat para pendeposit,” kata TH dalam kenyataan di Facebooknya.

Pelantikan Mustakim dianggap selari dengan falsafah TH yang menekankan kecemerlangan demi manfaat para pendeposit, terutama dalam menghadapi cabaran ketidaktentuan pasaran global serta peningkatan kos perkhidmatan pihak ketiga seperti tambang penerbangan, penginapan dan rawatan perubatan.

Mustakim merupakan pemegang Ijazah Sarjana Kewangan dari RMIT University, Australia dan merupakan felo Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA).

Beliau telah berkhidmat hampir 20 tahun di TH merangkumi pelbagai bahagian seperti kewangan, pelaburan, perkhidmatan deposit dan operasi, teknologi maklumat serta keselamatan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button