BERITA SEMASA

Mulai esok perkhidmatan e-107D, bayaran cukai ditambah baik – LHDN

CYBERJAYA – Berkuat kuasa 1 Januari ini Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan melaksanakan perubahan melibatkan perkhidmatan Pengemukaan Penyata Bayaran Seksyen 107D secara elektronik (e-107D) dan perubahan terimaan bayaran cukai di pusat pengurusan terimaan.

Menurut LHDN dalam satu kenyataan, sebelum ini pengemukaan maklumat bayaran kepada ejen, pengedar atau pengagih (individu pemastautin) di bawah seksyen 107D Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 dilaksanakan secara manual.

“Sehubungan dengan pelaksanaan mandatori ini, pembayar cukai perlu mengemukakan Borang CP 107D secara dalam talian dengan menggunakan kaedah e-107D yang telah disediakan.

“Pembayaran potongan cukai seksyen 107D juga perlu dibuat secara elektronik dengan menggunakan Nombor Bil dan boleh dilakukan melalui ByrHASiL di https://byrhasil.hasil.gov.my/HITS_EP/; atau Financial Process Exchane (FPX) menerusi pautan ByrHASiL atau bayaran cukai di Pusat Pengurusan Terimaan LHDN Kuala Lumpur (PPTHKL),” katanya hari ini.

Dalam pada itu katanya, bayaran cukai secara manual di PPTHKL melibatkan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) dengan pegangan cukai tiga peratus oleh pemeroleh hartanah di bawah seksyen 21B Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (ACKHT)1976 (Borang CKHT502), Cukai Pegangan, Cukai Pendapatan Penghibur Awam dihentikan.

Katanya, turut dihentikan ialah bayaran potongan cukai dua peratus terhadap pembayaran komisen oleh syarikat pembayar kepada ejen, pengedar atau pengagih (Seksyen 107D, ACP 1967).

Mengulas lanjut katanya, bayaran kompaun dan pembayaran cukai pendapatan dengan menggunakan kad debit atau kad kredit yang dikeluarkan di Malaysia masih diterima di PPTHKL.

“Bayaran bagi kategori cukai yang tidak lagi diterima secara manual boleh dilaksanakan menerusi platform berikut dengan menggunakan nombor bil atau nombor pengenalan cukai (TIN) sebagai rujukan bayaran secara dalam talian melalui portal rasmi LHDN dan portal perbankan internet bank ejen LHDN; bayaran tunai menerusi kaunter Pos Malaysia dan bank ejen LHDN, mesin deposit tunai bank ejen LHDN, mesin juruwang automatik (ATM) bank ejen LHDN tertentu.

Selain pindahan telegrafik, pindahan dana elektronik (EFT) dan pindahan giro bank (IBG) menggunakan Sistem eTT bagi pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di Malaysia dan juga pembayar cukai yang mempunyai akaun bank di luar Malaysia.

“LHDN yakin pelaksanaan mandatori dan penambahbaikan perkhidmatan dalam talian ini dapat memudahkan urusan percukaian pembayar cukai serta mencorak satu norma baharu rakyat Malaysia ke arah pendigitalan sepenuhnya pada masa hadapan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button