BERITA SEMASA

Muhammad Sufi selamat jalani pembedahan tempurung kepala

ALOR SETAR – Muhammad Sufi Abdul Aziz, 36, yang sebelum ini tular kerana menjual daging salai bagi mengumpul dana untuk pembedahan akhirnya selamat menjalani prosedur memasang implan tempurung kepala di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini semalam.

Ibunya, Noraini Ishak, 71, berkata, pembedahan itu bermula pada pukul 8.30 pagi dan selesai sekitar 1 tengah hari dengan keadaan anaknya kini stabil namun masih memerlukan penjagaan rapi di hospital.

“Doktor maklumkan sekiranya saluran darah di kepalanya pulih dengan baik, mungkin beberapa hari lagi dia akan dibenarkan keluar hospital. Tetapi buat masa ini, dia masih perlu dipantau,” katanya memetik laporan Awani Online.

Menurut Noraini, doktor menasihatkan agar anaknya diberikan ruang untuk berehat dan tidak diganggu buat masa ini bagi memastikan proses penyembuhan berjalan lancar.

“Doktor pesan supaya dia tidak ditemuramah atau ditanya terlalu banyak perkara kerana bimbang boleh menjejaskan pemulihannya.” katanya lagi.

Noraini turut berkata, selepas kisah anaknya tular di media sosial, Muhammad Sufi mengalami sedikit tekanan sehingga membuatkan dirinya gelisah dan bimbang.

“Saya menjaganya di wad dan turut mengupah seorang penjaga kerana dia dalam keadaan lemah.

“Selepas sedar, dia cuba menarik tiub sehingga doktor menasihatkan agar dia lebih banyak berehat.” katanya lagi.

Noraini mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu, termasuk orang ramai yang membeli daging salai bagi menyokong usaha anaknya mengumpul dana perubatan.

 

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM15,000 kepada Muhammad Sufi selepas mengetahui kisahnya menjual daging salai di TikTok untuk menampung kos pembedahan kelimanya.

Muhammad Sufi, seorang duda yang mempunyai seorang anak, sebelum ini pernah koma lebih sebulan dan kehilangan separuh tempurung kepala selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Tanah Merah dua tahun lalu.

Pembedahan yang pada asalnya dijadualkan pada 9 Mac depan dipercepatkan atas keperluan perubatan.

Buat masa ini, Muhammad Sufi yang bertugas sebagai fisioterapi di HSB terpaksa menghentikan sementara perniagaan daging salainya bagi memberi fokus kepada rawatan dan pemulihan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button