MRSM Kepala Batas dimasyhurkan sebagai MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi
KEPALA BATAS – Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas kini secara rasmi dikenali sebagai MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai penghormatan tertinggi kepada Almarhum Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Pemasyhuran itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu majlis rasmi yang diadakan hari ini.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemasyhuran tersebut bukan sahaja mengiktiraf jasa besar Almarhum Tun Abdullah kepada pembangunan negara, malah turut mengimbau kembali peranan penting beliau dalam merealisasikan penubuhan MRSM di kawasan Seberang Perai Utara.
“Almarhum Tun Abdullah merupakan Bapa Pembangunan Modal Insan Negara dan turut merasmikan penubuhan MRSM ini dalam Majlis Perasmian Projek-projek Persekutuan Parlimen Kepala Batas pada 29 Mac 2009 di Dewan Milenium,” katanya dalam sati hantaran di laman Facebook hari ini.

Menurut Asyraf, MRSM itu bukan sekadar institusi pendidikan berteraskan program Ulul Albab, bahkan telah membuktikan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, hafazan dan kokurikulum.
“MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi telah melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah merupakan huffaz Al-Quran profesional yang berakhlak tinggi,” jelasnya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja MRSM tersebut dan pihak MARA yang telah berjaya merealisasikan pemasyhuran itu dalam tempoh yang singkat namun penuh makna.
“Semoga MRSM ini terus menjadi mercu tanda kecemerlangan pendidikan Bumiputera dan menjulang nama Almarhum Tun Abdullah sebagai inspirasi kepada seluruh generasi GenMARA,” katanya lagi.
Majlis pemasyhuran itu menjadi satu lagi detik bersejarah buat institusi pendidikan MARA, khususnya dalam menghargai sumbangan tokoh negarawan kepada pembangunan modal insan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








