MPSepang raih anugerah tertinggi PLIS sempena Persidangan Pengurus Sumber Manusia Negeri Selangor 2025
SUBANG JAYA – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) terus mengukuhkan reputasi cemerlangnya apabila menerima Anugerah Kursus Tertinggi Pusat Latihan Inovasi Selangor (PLIS) bagi kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Anugerah itu diterima sempena Majlis Perasmian Penutup Persidangan Pengurus-Pengurus Sumber Manusia dan Hari Psikologi Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor 2025 yang berlangsung di Hotel Geno, di sini kelmarin.
Penyampaian anugerah berprestij itu disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Selangor, Datuk Mohd Yazid Sairi kepada Timbalan Setiausaha MPSepang, Nor Suhaila Saat yang mewakili organisasi dan seluruh warga kerja agensi tersebut.

Selain itu, MPSepang turut mencatat pencapaian membanggakan apabila kakitangannya, Suhana Mohd Soib meraih tempat ketiga bagi Anugerah Pementoran Mentor Terbaik kategori PBT, manakala Wan Shafiqah Zaharah Wan Yusof memenangi tempat kedua bagi Anugerah Pementoran Menti Terbaik kategori PBT.
Kedua-dua mereka turut diumumkan sebagai pemenang tempat kedua bagi Anugerah Pementoran Pasangan Terbaik kategori PBT, sekali gus menyerlahkan budaya bimbingan dan perkongsian ilmu yang aktif dalam kalangan warga MPSepang.
Pada majlis yang sama, seramai sembilan orang kakitangan MPSepang turut menerima Sijil Pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka dalam memberikan sokongan emosi dan motivasi di tempat kerja.
MPSepang dalam kenyataannya berkata, program seumpama ini diharap dapat menyemai budaya kerja yang sihat, memperkukuh sokongan sosial serta meningkatkan kesejahteraan mental dan profesional warga perkhidmatan awam.
“Program AKRAB dan sistem pementoran ini diharap saling melengkapi dalam membentuk organisasi yang seimbang, dinamik dan berdaya tahan untuk mendepani cabaran pentadbiran moden,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, sesi Forum Psikologi bertajuk “Membangun Budaya Kerja Mental Sihat Melalui Perancang HR” turut diadakan pada sebelah pagi dengan penglibatan tiga panel jemputan.
Forum itu memberi ruang kepada peserta untuk berinteraksi dan berkongsi pandangan dalam usaha membina persekitaran kerja yang positif dan seimbang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






