MPSepang komited selesai isu setempat di Desa Timah Langat
SEPANG – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menegaskan komitmennya untuk terus mendengar dan menyelesaikan masalah penduduk setempat melalui penganjuran Sesi Dialog Bersama Yang Dipertua MPSepang di Dewan Desa Timah Langat, Dengkil, semalam.
Sesi yang berlangsung dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Sepang itu dipengerusikan oleh Yang Dipertua MPSepang, Dr Ani Ahmad bersama Timbalan YDP, Muhamad Shah Osmin dan disertai oleh penduduk dari Desa Timah Langat, Cybersouth dan Bukit Damar.

Menurut Dr Ani, sesi dialog tersebut memberi ruang kepada penduduk untuk menyuarakan pelbagai isu setempat antaranya masalah banjir, penyelenggaraan sistem saliran, kutipan sampah, laluan jalan sempit serta keperluan penyediaan parkir tambahan dan penambahbaikan jalan utama.
“MPSepang akan berbincang bersama Pejabat Tanah Daerah Sepang bagi memastikan tindakan susulan dapat dijalankan dengan berkesan demi kesejahteraan komuniti,” katanya.
Antara isu lain yang turut dibangkitkan ialah semakan semula pelan kawasan penyelenggaraan Desa Timah Langat sama ada di bawah tanggungjawab Pejabat Tanah atau MPSepang serta cadangan pembinaan sekolah dan tanah perkuburan baharu di Cybersouth selain isu kedai tidak berlesen di Bukit Damar.
Turut hadir pada sesi dialog itu ialah Ketua Penolong Pegawai Daerah Sepang, Hazlim Hapaz; Pegawai Khas Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang, Mohd Hazril Harun; Pegawai Penyelaras DUN Dengkil, Datuk Noorazli Said serta wakil agensi teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Air Selangor, Tenaga Nasional Berhad dan Polis Dengkil.
Ahli Majlis MPSepang Zon Timah Langat, Lee Kan Ming turut memainkan peranan sebagai perantara dalam sesi berkenaan.
MPSepang dalam kenyataannya menegaskan bahawa pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan serta komuniti setempat bagi memastikan kesejahteraan penduduk dan kemajuan daerah Sepang dapat dicapai secara menyeluruh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






