
MPPN fokus tangani isu 3R, pelaksanaan semula PLKN
PUTRAJAYA – Sentimen berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) serta pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menjadi antara isu utama yang dibincang dalam Mesyuarat Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) yang berlangsung hari ini di Putrajaya.
Mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof itu turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang serta 14 ahli majlis yang terdiri daripada tokoh-tokoh masyarakat.
Dalam pembentangan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 44 kes berkaitan isu 3R direkodkan dari Januari hingga April 2025.
Fadillah menegaskan keperluan pendekatan lebih strategik dan kolaboratif antara agensi bagi mengekang sebarang bentuk provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
“Kita tidak boleh berkompromi dengan sebarang bentuk provokasi menyentuh isu 3R. Keamanan negara ini hasil usaha bersama dan perlu dilindungi dengan penuh tanggungjawab,” tegas beliau.
Beliau turut menggesa agensi penguatkuasaan seperti PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar lebih proaktif dalam memantau serta mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran kebencian di platform digital.
Dalam mesyuarat tersebut, MPPN bersetuju untuk menginstitusikan strategi bersepadu berasaskan pendekatan Alert (Peka), Sensitive (Sensitif), Engagement (Libat Urus) dan Control (Kawalan) sebagai garis panduan dalam menangani isu-isu sensitif nasional.
Turut dibentangkan ialah pelan pelaksanaan semula PLKN 3.0 oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) yang menyasarkan penyertaan belia berusia 17 hingga 35 tahun.
Latihan asas dijadualkan bermula pada sesi akademik 2026/2027 melibatkan institusi seperti IPTA, Politeknik dan Institut Pendidikan Guru (IPG).
“Kita mahu pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut dilengkapi dengan kemahiran insaniah, kepimpinan dan semangat kenegaraan,” katanya yang menyifatkan PLKN 3.0 sebagai pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan negara.
Sementara itu, Aaron menekankan bahawa perpaduan nasional tidak boleh dicapai melalui dasar sahaja, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif masyarakat.
“Kita perlu terus mendidik masyarakat bahawa perpaduan adalah tanggungjawab bersama. Nilai MADANI perlu diterjemahkan ke akar umbi melalui program komuniti dan platform dialog,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Perpaduan Negara akan menganjurkan Persidangan Pembinaan Negara Bangsa MADANI pada Jun ini sebagai medan perbincangan dasar dan strategi melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
Mesyuarat MPPN kali ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh asas perpaduan melalui sinergi antara aspek keselamatan, pendidikan dan penglibatan masyarakat secara menyeluruh.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |