
MPPK kecam tindakan mahasiswa bakar karikatur pemimpin negara
KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mengecam keras tindakan sekumpulan mahasiswa yang membakar karikatur pemimpin tertinggi negara dalam satu perhimpunan di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.
MPPK menyifatkan tindakan tersebut sebagai melampaui batas, bersifat provokatif dan mencemarkan citra institusi pengajian tinggi, selain tidak mencerminkan nilai dan adab sebagai seorang mahasiswa.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, MPPK menegaskan bahawa hak kebebasan bersuara yang diamalkan di kampus merupakan asas penting dalam ekosistem demokrasi yang matang, namun perlu diiringi kematangan intelektual dan kesantunan.
“Kebebasan bersuara tidak seharusnya disalahgunakan dengan tindakan ekstrem atau menghina mana-mana pihak.
“Sebaliknya, mahasiswa perlu mengangkat prinsip penghormatan dan kemampuan untuk berbeza pandangan secara beradab,” menurut kenyataan itu.
MPPK turut menzahirkan penghargaan terhadap pendekatan berjiwa besar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan supaya tiada tindakan keras diambil terhadap pelajar terlibat, termasuk penamatan pengajian, walaupun beliau sendiri menjadi sasaran dalam insiden tersebut.
“Langkah penuh ihsan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan tiada anak muda tercicir daripada akses pendidikan hanya kerana kekhilafan yang dilakukan,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam masa sama, MPPK menegaskan komitmennya untuk terus memelihara keharmonian dan ketenteraman kampus sebagai ruang intelektual yang aman dan kondusif bagi pembangunan ilmu, sahsiah dan kepimpinan mahasiswa.
Sehubungan itu, MPPK menyeru semua pihak, khususnya warga kampus, agar menolak segala bentuk tindakan provokatif yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta berusaha memelihara keamanan demi masa depan negara yang bermaruah dan bersatu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |