
MP Sungai Buloh hulur sumbangan Prihatin Banjir RM100,000
SUNGAI BULOH – Nasib 150 keluarga mangsa banjir di Kampung Kubu Gajah dan Kampung Sungai Pelong di sini, mendapat perhatian apabila menerima bantuan barangan bernilai RM100,000.
Inisiatif Prihatin Banjir Sungai Buloh itu merupakan kerjasama antara Ahli Parlimen kawasan tersebut, Datuk Seri R. Ramanan dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Sumbangan tersebut meliputi pelbagai peralatan rumah seperti dapur, periuk nasi, pengisar, kipas, periuk dan kuali bagi menggantikan barangan yang rosak akibat bencana banjir di kawasan tersebut minggu lalu.

Tidak ketinggalan, Pusat Tahfiz Az Zahrah Lilbanat di Kampung Sungai Pelong turut menerima bantuan berupa peti sejuk beku, pam air, sistem pembesar suara, dapur, rak besi serta tikar getah bagi memastikan para pelajar dapat meneruskan pengajian dalam suasana yang lebih selesa dan teratur.
“Bantuan ini bukan hanya bersifat kebajikan semata-mata, tetapi lambang komitmen kami untuk terus bersama rakyat dalam apa jua keadaan.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Shamir Aziz dan seluruh kepimpinan AIM atas kerjasama yang diberikan bersama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh,” kata Ramanan kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan dari rumah ke rumah, hari ini.
Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menegaskan kerajaan Madani kekal komited membantu rakyat yang terkesan akibat bencana serta memastikan tiada golongan yang dipinggirkan dalam menerima bantuan.
“Usaha pemulihan akan diteruskan dan kita akan pastikan setiap bantuan disampaikan secara telus kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Susah senang, kita tetap bersama. Inilah semangat setiakawan prihatin yang ingin kita suburkan di Sungai Buloh,” ujar beliau yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) kawasan itu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |