MoU Kerjasama Pertahanan dengan AS tiada kaitan ART, hanya sebahagian instrumen diplomasi pertahanan negara – Khaled
KUALA LUMPUR — Kementerian
Pertahanan menjelaskan instrumen kerjasama pertahanan yang dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) pada 30 Oktober lalu adalah berbentuk memorandum persefahaman (MoU) dan bukannya perjanjian seperti yang didakwa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemeteraian MoU berkenaan dibuat di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus, serta bersifat tidak mengikat dari segi perundangan.
“Rundingan MoU tersebut telah bermula sejak tahun 2020, iaitu kira-kira lima tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, MoU Kerjasama Pertahanan Malaysia–AS itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Agreement on Reciprocal Trade (ART) yang ditandatangani pada 26 Oktober lalu sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur.
“Kandungan MoU berkenaan memfokuskan kepada aktiviti dua hala meliputi pembangunan keupayaan dan kapasiti, latihan serta eksesais ketenteraan, sains, teknologi dan industri pertahanan, selain bidang-bidang lain yang dipersetujui bersama menerusi Malaysia–US Strategic Talk (MUSST) yang telah dilaksanakan sejak 2008,” katanya.
Sementara itu katanya, pemeteraian MoU Kerjasama Pertahanan dengan negara-negara rakan merupakan sebahagian daripada instrumen diplomasi pertahanan negara seperti yang digariskan di bawah Tonggak Ketiga Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dilancarkan pada 2019, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan Perdana Menteri ketujuh.
Selain Amerika Syarikat, katanya, Malaysia turut menandatangani MoU Kerjasama Pertahanan dengan beberapa negara lain termasuk China (2016), Jepun (2018), Lao PDR (2019), Indonesia (2022), Vietnam (2023) dan terbaharu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 11 Disember 2025.
Tegasnya, pemeteraian MoU dengan negara-negara tersebut, termasuk AS, adalah selari dengan dasar luar Malaysia yang neutral dan berkecuali, serta komitmen negara terhadap deklarasi Zone of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN) yang ditandatangani oleh negara-negara anggota ASEAN pada 1971.
Pada masa sama katanya, Kementerian Pertahanan merakamkan penghargaan atas keprihatinan Dr Mahathir berhubung perkara itu dan menegaskan bahawa pemeteraian MoU Kerjasama Pertahanan dengan AS adalah demi kepentingan negara bagi memastikan Malaysia kekal selamat, berdaulat dan makmur.
Pada 2 Disember lalu, Dr Mahathir membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dakwaan “khianatan” terkait perjanjian ART yang ditandatangani dengan Presiden AS, Donald Trump pada Oktober lalu.
Dalam laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya itu, Dr Mahathir turut meminta pihak berkuasa menyiasat pegawai daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Peguam Negara; serta semua pihak yang terlibat menyediakan, merunding dan memeterai perjanjian tersebut.
Beliau turut mendakwa Malaysia menandatangani satu lagi dokumen besar dengan AS, iaitu MoU berkaitan kerjasama pertahanan yang dianggap melibatkan isu sensitif negara.
Antaranya, rondaan bersama di Laut China Selatan dan Selat Melaka, radar, aset maritim, dron dan perkongsian teknologi serta perancangan pertahanan jangka panjang termasuk kemungkinan penempatan aset AS.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








