Monsun Barat Daya dijangka bermula 10 Mei ini
KUALA LUMPUR – Monsun Barat Daya dijangka bermula 10 Mei dan berterusan sehingga September susulan angin yang mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau negara.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, kadar kelembapan udara lazimnya rendah, sekali gus menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat sepanjang musim berkenaan.
“Sehubungan itu, negara akan menerima jumlah hujan yang lebih rendah berbanding tempoh lain dengan bilangan hari tanpa hujan adalah lebih banyak berbanding bilangan hari hujan.
“Bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah, terutamanya pada awal pagi, berikutan kehadiran fenomena garis badai (squall line).
“Ia merupakan barisan ribut petir yang terbentuk akibat daripada penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketika kemuncak monsun berkenaan iaitu antara Julai hingga September, fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan boleh berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.
“Elakkan pembakaran terbuka bagi mengurangkan risiko pencemaran jerebu.
“Selain itu, saya menggalakkan orang ramai supaya menggunakan air secara berhemah sepanjang musim itu,” katanya lagi
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman sesawang rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca, media sosial rasmi jabatan berkenaan atau menghubungi talian hotline 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






