
Mohon maaf kepada rakyat Jepun dan China bukan isu papan tanda, tapi isu kemalangan – King Sing
KUALA LUMPUR – Permohonan maaf yang dibuat oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing kepada rakyat Jepun dan China baru-baru ini ialah berkenaan insiden kemalangan serius yang berlaku di negara ini melibatkan pelancong kedua-dua negara itu.
King Sing berkata, permohonan maaf itu tiada kaitan sama sekali dengan isu papan tanda dwibahasa yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.
“Saya memohon maaf (kepada mereka) atas kelemahan dipihak kami dalam memastikan keselamatan pelancong dan bukan sekadar memohon maaf tanpa alasan.
“Menjadi tanggungjawab kita sebagai tuan rumah untuk memastikan pelancong dapat menikmati percutian mereka dengan selamat dan gembira.
“Apabila pelancong datang ke Malaysia dengan harapan untuk bercuti tetapi berakhir dengan tragedi tidak diingini, ia sesuatu yang amat menyedihkan bagi mangsa serta ahli keluarga mereka,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook semalam.
Pada masa yang sama, King Sing berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memandang serius isu tersebut bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
Mengulas mengenai isu papan tanda, King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu mengharapkan agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkomunikasi dengan lebih baik terhadap peniaga yang terlibat bagi mengelakkan berlakunya perbalahan.
@malaysiatribune Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin dan Dr. Muhamad Akmal Saleh yang membangkitkan papan tanda dwibahasa secara berlebihan sehingga berisiko menjejaskan keharmonian kaum. #malaysiatribune
Tambah King Sing, pendekatan itu selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu ‘rakyat Malaysia ialah satu keluarga’ yang mencerminkan keharmonian dan perpaduan masyarakat di negara ini sentiasa utuh.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut membidas tindakan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin serta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh yang didakwa dengan sengaja membangkitkan isu perkauman terhadap perkara tersebut.
“Sebagai seorang pemimpin, mereka sepatutnya bertindak dengan lebih bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah dan bukannya mencipta masalah.
Sementara itu, beliau juga terbuka untuk menerima sebarang teguran dan kritikan yang membina namun berharap semua pihak dapat bersatu hati dalam mencari jalan penyelesaian yang konstruktif.
“Jika saya melakukan kesilapan, saya akan dengan rendah hati mengakuinya dan memperbaikinya namun saya berharap kita tidak terus mencetuskan huru-hara dan ketegangan terutamanya dengan isu yang tidak membawa manfaat kepada negara.
“Saya memohon jasa baik semua untuk sama-sama melihat kesusahan rakyat dan fokus kepada kemajuan negara kerana kita harus menonjolkan imej serta contoh positif negara kita di mata dunia,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |