
Mohd Khalid diumum KPN baharu
PUTRAJAYA – Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail hari ini diumumkan sebagai Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu.
Pelantikan Mohd. Khalid adalah bagi menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang tamat kontrak pada pada 22 Jun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pelantikan Mohd Khalid sebagai KPN bagi tempoh dua tahun mulai 23 Jun 2025 hingga 22 Jun 2027.
“Berdasarkan pengalaman yang luas dalam bidang kepolisan, Mohd Khalid mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi bagi meneruskan kesinambungan dan tanggungjawab menerajui PDRM.
“Bagi pihak Kerajaan MADANI, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Razarudin atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ketua Polis Negara sejak 23 Jun 2023,” katanya dalam satu kenyatan, sebentar tadi.
Mohd Khalid dilahirkan pada 8 April 1965 di Manong, Perak dan berkelulusan Ijazah Sarjana Comparative Laws dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Seorang pegawai yang sangat berpengalaman dalam bidang risikan dan keselamatan, beliau memulakan kerjaya dalam kepolisan di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 5 April 1987.
Beliau turut mempunyai pengalaman berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di peringkat kontinjen dan luar negara.
Pada 10 April 2023, Mohd Khalid dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Cawangan Khas sebelum bersara wajib pada 8 April 2025.
Perkhidmatan beliau sebagai Pengarah Cawangan Khas kemudiannya diteruskan
selepas bersara dan telah dilantik secara kontrak mulai 8 April 2025
sehingga kini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |