Mohd Husni dilantik Pengerusi Perbadanan Labuan baharu
PUTRAJAYA – Datuk Mohd Husni Mohamad Salleh dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dalam kenyataan di Facebook hari ini berkata, pelantikan Mohd Husni diyakini mampu memperkukuh peranan strategik Labuan sebagai Wilayah Persekutuan yang berdaya saing.
“Beliau merupakan tokoh korporat dan pentadbir berpengalaman luas dengan lebih 34 tahun kerjaya merentasi sektor kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta,” katanya.
Mohd Husni, 56,merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari West Virginia University, Amerika Syarikat.
Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) selama lapan tahun (2011–2018), di mana beliau turut mengetuai Sekretariat Majlis Ekonomi Bumiputera Nasional serta Majlis Ekonomi Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Dr Zaliha berkata, sepanjang menerajui TERAJU, Mohd Husni memainkan peranan penting dalam melaksanakan agenda transformasi ekonomi Bumiputera melalui pelbagai inisiatif pelaburan, pembiayaan dan pembangunan perniagaan di peringkat nasional.
Selain itu, beliau juga pernah menyandang beberapa jawatan kanan termasuk Ketua Pegawai Tadbir Urus di Sumner Group Health Medical Devices Limited, United Kingdom; Ketua Pegawai Eksekutif Maju Holdings Sdn Bhd; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP); serta Ketua Pegawai Operasi MSC Venture Management.
Antara pengiktirafan antarabangsa yang pernah diterimanya termasuk Jewels of the Muslim World Award oleh OIC Today Magazine (2019), Global Leadership Award for Leadership Excellence in Community Transformation (2017) dan Innovative Leadership Award daripada Limkokwing University (2016).
“Saya percaya, pengalaman dan latar belakang beliau yang luas akan menyumbang kepada pengukuhan daya tarikan pelaburan serta pembangunan ekosistem ekonomi tempatan di Labuan, selain meningkatkan kualiti hidup penduduk pulau ini,” kata Dr Zaliha.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Anifah Aman atas sumbangan dan kepimpinan sepanjang menjawat jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan sejak Jun 2023.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








