Mohamad Sabu ajak rakyat sertai himpunan solidariti Palestin 28 Mac
KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu mengajak rakyat Malaysia menyertai himpunan solidariti bagi membela rakyat Palestin di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat pada 28 Mac ini sebagai bantahan terhadap serangan udara Israel di Semenanjung Gaza sejak Selasa lalu.
Menurutnya, orang ramai yang ingin menyertai perhimpunan itu boleh berkumpul di Masjid Tabung Haji selepas solat Jumaat sebelum bergerak ke Kedutaan Amerika Syarikat.
“Biar dunia tahu, rakyat Malaysia tidak duduk diam.
“Kita bukan sekadar mengecam Zionis Israel, tetapi juga menyatakan kekecewaan terhadap negara-negara Arab yang terus membiarkan saudara seagama kita di Palestin ditindas,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi beliau.
Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menegaskan, penyertaan rakyat Malaysia dalam himpunan itu adalah bukti solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin yang terus menjadi mangsa serangan Israel.
Serangan udara Israel sejak Selasa lalu telah menghancurkan gencatan senjata serta perjanjian pertukaran tahanan yang dipersetujui sejak Januari.
Setakat ini, hampir 50,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 112,000 lagi cedera dalam kempen ketenteraan Israel di Gaza sejak Oktober 2023.
Himpunan itu dijangka disertai pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis kemanusiaan serta rakyat Malaysia yang prihatin terhadap nasib rakyat Palestin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








