MMU agih RM1.6 juta Biasiswa Ibnu Haitham bantu pelajar asnaf
PUTRAJAYA – Universiti Multimedia (MMU) terus mengukuhkan komitmennya dalam memastikan pendidikan berkualiti dapat diakses oleh semua golongan masyarakat dengan memperuntukkan dana sebanyak RM1.6 juta melalui Biasiswa Ibnu Haitham.
Biasiswa ini ditawarkan kepada pelajar Muslim daripada golongan asnaf fakir dan miskin bagi membantu meringankan beban kewangan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda di MMU.
Presiden MMU, Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud berkata, biasiswa Ibnu Haitham ditawarkan kepada pelajar yang memenuhi syarat kelayakan, termasuk pencapaian sekurang-kurangnya 6A dalam keputusan SPM atau CGPA 3.0 dalam keputusan Asasi atau Diploma.
“Penerima biasiswa ini akan mendapat pembiayaan penuh meliputi yuran pengajian dan asrama, elaun sara hidup, elaun buku, serta penyertaan dalam program pembangunan pelajar bagi memastikan mereka dapat mengembangkan potensi secara holistik,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa MMU Bersama Media, di sini baru-baru ini.
Melalui bantuan kewangan itu, beliau berkata, MMU berharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar asnaf yang berpotensi untuk berpeluang melanjutkan pengajian mereka dalam bidang teknologi dan sekali gus menyumbang kepada negara pada masa akan datang.
Selain Biasiswa Ibnu Haitham, MMU turut menawarkan Biasiswa Jawhar, yang menyasarkan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40).
Biasiswa ini merangkumi bantuan yuran pengajian dan asrama, serta elaun sara harian, elaun buku, komputer riba, dan penyertaan dalam program pembangunan pelajar.
MMU turut menyediakan pelbagai bentuk sokongan kewangan kepada pelajar yang memerlukan termasuk MMU President’s Scholarship, MMU Merit Scholarship, MMU Talent Scholarship, MMU Merit (International) Scholarship, MMU International Student Entrance Scholarship, dan MMU International Student Rebates.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai peluang pembiayaan lain di MMU, boleh melayari laman web rasmi MMU atau hubungi pihak universiti di talian yang disediakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






