MMC hargai usaha KBS angkat sukan motocross
KUALA SELANGOR – Kejuaraan Motocross Malaysia (MMC) menghargai usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam menyokong penganjuran kejuaraan sukan ekstrem berkenaan yang diadakan di Litar Motorcross Ijok di sini, pada September lalu.
Menurut Naib Presiden MMC, Hazlanshah Mohd Noor, insentif yang diterima menerusi geran padanan sukan daripada KBS bukan sahaja dapat memudahkan penganjuran kejuaraan berkenaan, malah dapat menarik minat lebih ramai peserta menyertai MMC.
Jelasnya, kejuaraan yang kini sudah memasuki edisi kedua tahun ini, menerima sambutan yang menggalakkan daripada pelumba-pelumba tempatan dan luar negara.
“Setakat ini memang sangat-sangat membantu kerana kita dapat dana yang boleh melancarkan kita punya acara (MMC) pada masa yang sama kita boleh menarik minat lebih banyak peserta dari dalam dan luar negara untuk menyertai kejohanan motorcross di Malaysia,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Terdahulu, Kejuaraan Motocross Malaysia yang memasuki pusingan terakhir telah melabuhkan tirainya 17 Disember lalu di Litar Motorcross Medini, Johor Bahru.
Sebagai rekod, saingan MMC 2023 yang telah bermula pada Julai lalu, membabitkan empat pusingan iaitu di Pulau Pinang, Selangor, Pahang dan berakhir di Johor.
Sebanyak tiga kategori baharu yang diperkenalkan itu adalah 50cc, 65cc rookie dan MX125cc sebagai tambahan kepada tiga kategori utama MX50, MX65 dan MX85.

Selain itu, satu kategori baharu turut diperkenalkan iaitu kategori jemputan (invitation), yang membolehkan pelumba dari luar negara berlumba bersama pelumba tempatan.
Tambah Hazlanshah, 31, insentif yang diterima buat pertama kali itu juga, telah digunakan bagi menyediakan hadiah yang lebih lumayan, sekali gus mampu memberi motivasi kepada para pelumba untuk beraksi dengan lebih cemerlang.
“Kita tidak pernah dapat dana sebelum ini dan ini kali pertama kita dapat, jadi sangat membantu dari segi penganjuran pada masa yang sama kita dapat tarik pelumba yang datang dalam peserta yang ramai dan dengan hadiah yang lebih lumayan supaya mereka lebih bermotivasi untuk bertanding,” ujarnya lagi.
Ditanya mengeni pembangunan sukan motorcross di negara ini, Hazlanshah berkata, ia masih di peringkat permulaan, justeru katanya, sokongan daripada KBS serta agensi kerajaan yang terlibat amat diperlukan.
“Pembangunan untuk kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah, makin ramai yang ceburi sukan ini jadi perkara ini perlu ada sokongan daripada agensi-agensi daripada kementerian untuk kita adakan pelapis bagi menggantikan pelumba lama.

Mengulas lanjut, Hazlanshah berkata, dengan berkembangnya sukan motorcross ini, golongan belia yang meminati sukan permotoran dapat mengisi waktu mereka bersama keluarga dengan aktiviti yang lebih berfaedah.
“Acara (MMC) seperti ini, pelumba-pelumba akan datang bersama dengan keluarga mereka, jadi hubungan sosial itu akan berkembang, sekali gus ia boleh mengurangkan gejala yang tidak baik seperti lumba haram di jalan raya.
Beliau berharap, KBS akan meneruskan usaha dalam mengangkat sukan ini dengan menyediakan dana yang lebih banyak agar MMC dapat diadakan di lebih banyak negeri pada tahun-tahun yang mendatang.
“Kita sayang anak muda di negara ini, jadi kalau dapat satu insentif yang lebih banyak daripada KBS yang boleh membantu untuk menjayakan acara yang ini serta boleh buat akademi untuk kanak-kanak. Itu harapan kami kepada KBS,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








