
MKLSB dakwa pengambilalihan Menara KL esok tidak sah
KUALA LUMPUR – Hydroshoppe Sdn Bhd dan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) hari ini mendakwa tindakan pengambilalihan terhadap Menara Kuala Lumpur oleh Lim Seong Hai Capital Berhad (LSH Capital) melalui anak syarikatnya, LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM), pada esok adalah tidak sah.
Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihak yang berkenaan harus menunggu keputusan perbicaraan di mahkamah.
Justeru itu, tegasnya, sebarang cubaan mengambil alih operasi Menara Kuala Lumpur tanpa keputusan rasmi mahkamah adalah bercanggah dengan prinsip undang-undang yang sedang berjalan.
“Pihak kami menekankan bahawa sebarang gangguan terhadap operasi mercu tanda ini boleh menjejaskan industri pelancongan dan pengalaman pengunjung, terutamanya dalam tempoh perayaan Aidilfitri.
“Dalam musim perayaan ini, Menara Kuala Lumpur menjadi destinasi utama bagi pelancong tempatan dan antarabangsa yang ingin menikmati keindahan bandar raya Kuala Lumpur.
“Sebarang tindakan yang boleh mengganggu operasi boleh memberi kesan negatif kepada pengalaman pelancong serta mencemarkan keharmonian perayaan,” katanya.
Isu pengambilalihan Menara KL sebelum ini menimbulkan persoalan orang ramai apabila TM menerusi anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, memindahkan pemilikan penuh mereka kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd, pada Oktober 2022.
Susulan itu, SPRM menahan dua pengarah kanan syarikat berusia antara 49 dan 59 tahun bagi membantu siasatan pembelian saham dan isu pengambilalihan pengurusan Menara KL.
Difahamkan, seorang yang ditahan ialah pengarah urusan syarikat yang didakwa terbabit mengambil alih saham Syarikat Menara KL.
Pada Mei tahun lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan satu syarikat usahasama membabitkan LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master Sdn Bhd dipilih untuk meneruskan operasi Menara KL.
Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, pihaknya berpegang kepada proses undang- undang dan berharap agar semua pihak berkepentingan menghormati prosedur yang sedang berjalan.
“Kami menyeru agar semua pihak mematuhi proses perundangan dan mengelakkan tindakan terburu-buru yang boleh mencetuskan ketegangan.
“Sebarang pengambilalihan hanya boleh dilakukan selepas keputusan muktamad oleh mahkamah,” tambahnya,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |