
Minyak enjin wajib miliki akuan SIRIM QAS bermula 7 April ini
KUALA LUMPUR – Penjualan semua produk minyak enjin kenderaan motor diwajibkan mempunyai label pematuhan yang diperakui oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd berkuatkuasa 7 April ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penguatkuasaan perintah baharu itu bertujuan membendung dan membanteras aktiviti penjualan produk tiruan minyak enjin kenderaan motor.
“KPDN telah menggubal Perintah baharu di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin Bagi Kenderaan Motor) 2024.
“Perintah ini digubal melalui seksyen 29, Akta 730 sebagai punca kuasa untuk melantik SIRIM QAS International Sdn. Bhd. sebagai pihak berkuasa berwibawa yang bertanggungjawab memperakukan dan mengeluarkan label pematuhan produk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata, perintah itu juga dapat melindungi kepentingan syarikat-syarikat pengeluar produk minyak enjin kenderaan motor dengan mengekang risiko penghasilan produk yang tidak tulen oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Katanya, menurut statistik penguatkuasaan, bermula Januari 2019 sehingga Februari 2025, sejumlah 240 aduan berkaitan produk minyak enjin kenderaan motor telah diterima dan disiasat.
“Daripada jumlah tersebut sebanyak 36 tindakan kes telah diambil dengan nilai rampasan berjumlah RM1,154,198.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana syarikat pengimport, pengedar, penjual yang menjual produk yang tidak diperaku dan tiada label pematuhan yang sah daripada
pihak berkuasa yang berwibawa.
Tegasnya, mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |