Berita SemasaDalam Negeri

MINDEF santuni Veteran ATM melalui Program Peduli Veteran Madani

BANTING – Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari telah menyantuni Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sekitar Lembah Klang menerusi Program Peduli Veteran Madani (PVM) anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM).

Program itu berlangsung selama dua hari pada 17 dan 18 Mac dengan matlamat mendekati golongan veteran secara bersemuka, mengenal pasti keperluan serta mendapatkan maklum balas terhadap inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Salah seorang veteran ATM yang menjadi pengusaha dodol turut menerima bantuan melalui program ini.

Dalam program itu, Adly berkesempatan menyantuni 15 orang veteran ATM di Kuala Lumpur dan 11 orang di Selangor.

“PVM peringkat Lembah Klang ini bertujuan memberi tumpuan kepada veteran yang menetap di kawasan bandar bagi memahami cabaran kehidupan mereka, khususnya dalam aspek kebajikan dan kesihatan,” katanya melalui kenyataan MINDEF hari ini.

Sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan taraf sosio-ekonomi veteran, Adly turut menyerahkan insentif kepada empat usahawan veteran ATM.

Bantuan tersebut melibatkan kelengkapan perniagaan seperti peralatan pembuatan sabun, mesin kuih siput, ketuhar industri dan mesin kelapa.

Selain itu, beliau juga menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada sembilan orang veteran ATM sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka dalam mempertahankan negara.

Program ini turut diserikan dengan sesi berbuka puasa bersama para veteran ATM serta sambutan Nuzul Al-Quran yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Banting, Selangor.

Dalam pada itu, bantuan komputer riba turut disampaikan kepada tiga orang anak asnaf veteran ATM bagi menyokong keperluan pembelajaran mereka.

Sumbangan Rahmah juga diberikan kepada wakil-wakil persatuan Veteran ATM Negeri Selangor sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan mereka.

MINDEF berkata, program itu merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik MINDEF 2021-2025: Teras 7 – Transformasi Kesejahteraan Veteran ATM, yang memberi penekanan kepada peningkatan taraf sosioekonomi serta pengiktirafan terhadap jasa pejuang negara.

“Inisiatif ini juga selaras dengan Dasar Malaysia Madani, khususnya dalam rukun ‘Kesejahteraan’,” menurut kenyataan itu.

Turut hadir dalam program ini Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki; Pengarah JHEV ATM Cawangan Selangor dan Wilayah Persekutuan, Komander Mohd Kamal Irfan Hassan Sabri (TLDM); serta Ketua Pegawai Operasi Yayasan Veteran ATM, Leftenan Kolonel Azwadi Jamian (Bersara) bersama wakil persatuan-persatuan Veteran ATM Negeri Selangor.

Program Peduli Veteran Madani itu menjadi bukti komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan veteran ATM terus terpelihara serta menghargai jasa mereka yang pernah berbakti kepada negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button