
MINDEF kemas kini proses hantar pulang rakyat Palestin
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang mengemas kini proses penghantaran pulang rakyat Palestin ke negara asal mereka susulan pengumuman gencatan senjata di Gaza.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, yang menyatakan operasi penghantaran akan dijalankan selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa Palestin dan Mesir.
“Operasi (penghantaran pulang) ini adalah sebahagian daripada program kerajaan untuk memberi bantuan kepada rakyat Palestin dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga sudah maklum mengenai perkara tersebut.
“Sekarang masa sesuai untuk menghantar mereka pulang. Jadi, beberapa aspek lain perlu dilihat sebelum operasi dapat dilaksanakan,” katanya sambil menambah MINDEF akan memantau perkembangan di Palestin sebelum penghantaran pulang.
Adly berkata demikian selepas menghadiri Majlis Hi-Tea Jabatan Hal Ehwal Veteran (ATM) yang disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di ibu negara, hari ini.
Terdahulu, seramai 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza tiba di Malaysia dengan menaiki dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pada 16 Ogos lalu.
Misi tersebut dilaksanakan berdasarkan pertimbangan kemanusiaan, selain menggambarkan solidariti rakyat Malaysia terhadap warga Palestin serta menunjukkan pendirian negara menentang tindakan yang tidak berperikemanusiaan atau genosid.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |