BERITA SEMASA

MINDEF agih 15,000 beg hari raya kepada anggota ATM

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM1,777,500 berjaya dikumpul manakala sejumlah RM178,920 sumbangan dalam bentuk barangan diterima daripada 67 badan korporat, syarikat dan individu untuk sumbangan Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tahun ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hasil daripada sumbangan itu, ATM berjaya menyediakan 15,000 beg Hari Raya untuk diserahkan kepada perwira dan perajurit yang bertugas di seluruh tanah air serta pasukan yang berkhidmat di bawah panji PBB di peringkat global.

Beliau berkata, agihan beg Hari Raya itu adalah simbol penghargaan kepada pengorbanan serta khidmat bakti setiap perwira dan perajurit ATM yang bertugas demi memastikan kedaulatan dan kesejahteraan negara terus terpelihara.

Antara gimik penyerahan sumbangan kepada ATM.

“Sumbangan ini bukan sahaja tanda sokongan moral, tetapi juga bukti bahawa jasa mereka sentiasa dihargai. Inisiatif ini adalah tanda keprihatinan terhadap setiap perwira dan perajurit yang menjadi tunjang kepada Keluarga ATM,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa sumbangan tersebut bukan sekadar bantuan material, tetapi lambang solidariti rakyat terhadap ATM.

“Ketika kita semua bersiap sedia menyambut Aidilfitri bersama keluarga dan insan tersayang, ada anggota ATM yang tetap bertugas, mempertahankan keamanan negara di sempadan dan di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Penghargaan kepada anggota tentera bukan hanya perlu datang dari kerajaan, tetapi daripada seluruh rakyat Malaysia.

“Mereka adalah perisai negara, dan kita semua bertanggungjawab untuk memastikan mereka tidak dilupakan, lebih-lebih lagi pada musim perayaan seperti ini,” tambahnya.

Majlis penuh bermakna ini dimulakan dengan gimik penyampaian sumbangan oleh para penyumbang kepada Menteri Pertahanan.

Sebagai tanda penghargaan, Mohamed Khaled turut menyampaikan plak cenderamata kepada penyumbang sebelum melancarkan Beg Hari Raya Aidilfitri.

Pelancaran ini disusuli dengan simbolik penyerahan beg-beg tersebut kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk (Dr.) Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Terdahulu, pembungkusan barangan sumbangan ke dalam Beg Hari Raya Aidilfitri telah dilaksanakan pada penghujung Februari lalu oleh ahli-ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) bersama warga ATM.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Adli Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; pegawai-pegawai kanan ATM dan Kementerian Pertahanan, isteri pegawai kanan ATM serta ahli BAKAT.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button