Menteri Perpaduan tegas perdebatan agama tidak wajar diteruskan
PUTRAJAYA – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan perdebatan melibatkan agama termasuk antara Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri Saravanan dengan Zamri Vinoth, tidak wajar diteruskan untuk mengelak ketegangan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Beliau berkata, sebarang perbincangan mengenai agama perlu dilakukan dengan penuh rasa hormat serta kesedaran terhadap kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat Malaysia.
“Debat yang terlalu fokus kepada perbezaan agama berisiko mengeruhkan hubungan masyarakat.
“Sebaliknya, kita perlu memberi perhatian kepada titik persamaan dan nilai-nilai universal yang mampu menyatukan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Kementerian Perpaduan Negara telah melaksanakan Inisiatif Harmoni MADANI melalui siri Dialog Harmoni dengan tema Faham, Hormat & Terima sebagai platform rasmi untuk membincangkan amalan baik setiap agama serta mengukuhkan hubungan antara penganutnya.
“Saya menyeru semua pihak agar menggunakan platform Dialog Harmoni yang dikendalikan oleh kementerian sebagai medium untuk meningkatkan kefahaman dan menghargai kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat kita,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan semua pihak, termasuk wakil rakyat, ahli politik, pemimpin agama dan masyarakat, agar terus memainkan peranan dalam memelihara perpaduan dan kestabilan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








