BERITA SEMASADALAM NEGERI

Menteri Perpaduan, Menteri Hal Ehwal Agama bantah warga asing sebar agama kepada umat Islam

KUALA LUMPUR – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mohd Na’im Mokhtar membantah keras tindakan segelintir warga asing yang didakwa menyebarkan agama mereka dari rumah ke rumah di PPR Wangsa Maju, sepertimana tular di media sosial baru-baru ini.

Kedua-dua Menteri berkata, tindakan tersebut jelas bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan orang bukan Islam dilarang untuk menyebarkan ajaran agama mereka kepada umat Islam.

Perlembagaan Persekutuan Fasal 4 juga menetapkan tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.

“Perkara ini amat membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan, keharmonian dan perpaduan antara pelbagai komuniti di negara ini.

“Malaysia yang terkenal dengan kepelbagaian budaya dan agama, harus terus menekankan sikap saling menghormati dan hidup dalam suasana aman damai,” kata mereka dalam kenyataan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (Harmoni) hari ini.

Mohd Na’im Mokhtar

Sehubungan itu kata mereka, kerajaan telah mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat.

Mereka juga mengingatkan orang ramai untuk tidak terpengaruh dengan kegiatan seperti itu dan melaporkannya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional akan meningkatkan pemantauan di seluruh negara dengan penglibatan Skim Rondaan Sukarela (SRS), terutamanya di kawasan Lembah Klang, untuk memperkukuh keselamatan dan keharmonian komuniti.

“Ini juga bertujuan membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah dan gejala sosial di kalangan masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu juga, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan terus memberi nasihat dan bimbingan kepada umat Islam mengenai kepentingan menjaga akidah, selaras dengan prinsip Malaysia Madani yang menekankan nilai hormat, ihsan, dan kesejahteraan bersama.

Aaron dan Mohd Na’im berharap kejadian seperti ini tidak akan berulang dan menyeru semua pihak untuk terus menjaga keharmonian, menghormati nilai budaya dan agama yang menjadi asas kehidupan rakyat Malaysia selama ini.

Mereka juga memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil untuk memastikan perpaduan nasional terus terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button