Menteri Pengangkutan kongsi situasi cemas, penerbangan 50 minit jadi 4 jam
KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendedahkan detik mencemaskan apabila penerbangan domestik yang sepatutnya mengambil masa hanya 50 minit berubah menjadi hampir empat jam akibat cuaca buruk malam tadi.
Loke yang menaiki pesawat AirAsia AK6047 dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis makan malam kutipan dana DAP Johor memaklumkan pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada jam 10.45 malam dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak lama kemudian.

Namun, ketika pesawat menghampiri landasan KLIA, angin silang yang kencang dan ribut petir menyebabkan juruterbang terpaksa membatalkan pendaratan dan berlegar di ruang udara sebagai langkah keselamatan.
“Pesawat melalui awan tebal dan ribut petir yang kuat. Juruterbang membatalkan percubaan pendaratan dan membuat pusingan di ruang udara KLIA,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut dimaklumkan bahawa sekurang-kurangnya lima penerbangan AirAsia lain turut terjejas akibat keadaan cuaca yang tidak menentu malam tadi.
Bagi memastikan keselamatan semua penumpang, juruterbang Kapten Teng Huah Jer mengambil keputusan untuk mengalihkan penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang bagi tujuan mengisi minyak sambil menunggu cuaca reda.
Loke memuji tindakan pantas dan tenang Kapten Jer serta seluruh kru penerbangan yang menunjukkan tahap profesionalisme tinggi dalam menangani situasi sukar itu.
“Kapten mengendalikan situasi dengan tenang, sentiasa berkomunikasi secara jelas dan memberi maklumat terkini secara berkala. Ini sangat penting untuk memastikan semua kekal tenang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kru penerbangan termasuk Pembantu Juruterbang, Bryan Alexander Yin Kian Yam, Ketua Kru Kabin Muhammad Asyraf Muhammad Nasrullah serta kru Mandasari Nikita Florensia, Bagus Setyadi Nugroho dan Norjuniza Muhammad atas sikap prihatin dan profesional mereka.
Penerbangan tersebut akhirnya selamat mendarat di KLIA pada jam 2.40 pagi.
Sebagai tanda sokongan moral, Loke berkata beliau menunggu sehingga semua penumpang keluar dari pesawat sebelum meninggalkan kabin.
“Saya ingin ucapkan terima kasih juga kepada petugas darat, pengawal trafik udara dan semua anggota sokongan dari Senai, Pulau Pinang hingga ke KLIA yang memastikan penerbangan ini tiba dengan selamat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






