Menteri Kerja Raya nafi terlibat skandal rasuah projek Lebuhraya Pan Borneo
KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan terlibat dalam skandal rasuah melibatkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah (WP35) yang disebarkan menerusi satu saluran telegram.
Beliau berkata, tuduhan itu bersifat fitnah, tidak berasas dan berniat jahat.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan tersebut.
“Sebagai seorang ahli politik dan anggota pentadbiran kerajaan yang sentiasa menjunjung amanah serta komited menjaga kepentingan rakyat dan negara, tuduhan ini bukan sahaja menjatuhkan imej dan integriti saya, malah turut mencemar reputasi Kementerian Kerja Raya dan Kerajaan Malaysia secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lebih membimbangkan, katanya, mesej tersebut bukan sahaja tersebar di Telegram, tetapi turut dikongsikan di pelbagai platform media sosial, sekali gus menimbulkan persepsi negatif dan prasangka dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, katanya, beliau telah mengarahkan Setiausaha Sulit Kanannya, untuk membuat satu laporan polis di Balai Polis Tun H.S. Lee semalam bagi menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini serta meminta pihak berkuasa menyiasat perkara itu dengan segera.
“Saya akan memberikan komitmen penuh untuk bekerjasama dalam apa jua bentuk bagi membantu siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah ini.
“Saya ingin menegaskan bahawa fitnah tidak boleh menjadi alat untuk menjatuhkan reputasi mana-mana individu, lebih-lebih lagi demi kepentingan politik atau agenda peribadi,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






