
Menteri Agama tegur pihak siarkan video mandikan jenazah di media sosial
KUALA LUMPUR – Tindakan menyiarkan video urusan memandikan jenazah menerusi media sosial amat tidak wajar kerana boleh menyebabkan keaiban kepada si mati atau keluarganya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan, semua pihak terutamanya mereka yang terbabit dalam proses pengurusan jenazah supaya tidak berbuat demikian.
“Semua pihak diseru supaya tidak sewenang-wenangnya menyiarkan video proses urusan mandi dan pengurusan jenazah kerana ia membabitkan kemuliaan insan (karamah insaniah) yang perlu dijaga sebaik-baiknya.
“Bahkan Baginda Rasulullah SAW memberikan peringatan supaya sentiasa berlaku ehsan serta tidak mematahkan tulang jenazah. Dalam satu hadis Riwayat Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya mematahkan tulang orang beriman yang mati seperti mematahkan tulang orang beriman yang masih hidup,” katanya seperti dilaporkan BH Online, hari ini.
Mohd NaÃm kemudian turut berkongsi firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan” (Al-Isra’:70)
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kecaman ramai pihak terhadap sebuah badan pengurusan jenazah yang berkongsi siaran langsung di Facebook proses memandikan jenazah seorang bayi lelaki dinamakan Adham yang dikebumikan selepas 16 hari ‘ditahan’ di sebuah hospital swasta, baru-baru ini.
Susulan perkongsian itu, ramai netizen yang memberi respons antaranya meminta video terbabit dipadamkan kerana boleh menimbulkan salah faham, kekeliruan dan keaiban kepada ahli keluarga bayi itu.
Difahamkan, bayi terbabit dilahirkan tidak sempurna tanpa sebelah mata, hidung dan lubang dubur sebelum meninggal dunia beberapa minit selepas kelahiran.
Bagaimanapun, kontroversi timbul susulan pendedahan pihak yang menguruskan jenazah bayi berkenaan yang mendakwa pihak hospital tidak membenarkan jenazah bayi itu dituntut memandangkan terdapat tunggakan bil rawatan.
Mengulas lanjut, Na’im turut meminta semua pihak berkaitan supaya merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam negeri dalam hal pengurusan jenazah.
“Secara umumnya, pihak berkuasa agama Islam negeri iaitu Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri sudah mempunyai panduan pengurusan jenazah.
“Semua pihak adalah dimohon untuk sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam dalam hal pengurusan jenazah agar semuanya dilaksanakan dengan baik dan sempurna,” katanya lagi.
Mengenai kes bayi berkenaan, beliau meminta semua pihak bertenang memandangkan ketika ini ia masih di bawah siasatan polis, Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkuasa agama Islam negeri.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |