Meninggal dunia ketika tawaf sunat, jemaah Malaysia dalam keadaan ‘cantik’
MEKAH – Tidak semua ‘dijemput’ Ilahi dalam keberkatan berada di Tanah Suci. Namun sesetengahnya, diberi keistimewaan untuk pulang menemui Sang Pencipta dalam keadaan yang cukup indah, apatah lagi di depan Kaabah.
Itulah yang berlaku kepada jemaah haji Malaysia, Abdullah Mat, 59, yang meninggal dunia ketika sedang melakukan tawaf sunat, semalam.
Allahyarham meninggal dunia akibat serangan jantung di Masjidil Haram, sejurus selesai melakukan pusingan kelima tawaf sunat.
Rakannya, Ashri Mohamed, 52, berkata, ketika kejadian, dia dan arwah bersama tiga lagi rakan sebilik pergi ke mataf sekitar pukul 2.30 pagi untuk menunaikan tawaf sunat.
BACA : Lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia akibat serangan jantung
“Ketika kami bertawaf pada pusingan kelima, Abe Loh (Allahyarham Abdullah) berjalan semakin perlahan dan perlahan.
“Apabila melepasi lampu hijau di aras 1 Masjidil Haram, pergerakannya bertambah perlahan.
“Saya memang sentiasa di belakangnya, ketika itu kira-kira dua langkah sahaja. Apabila saya lihat dia mahu tumbang terus saya sambut badannya. Kepalanya betul-betul atas riba saya,” kata Ashri pada sidang akhbar di Mekah semalam memetik laporan Kosmo! Online.
Ujarnya lagi, tidak lama selepas arwah rebah, azan Subuh berkumandang.
“Arwah sempat diberikan bantuan pernafasan oleh jemaah asing yang merupakan seorang doktor.
“Kemudian, dia dibawa ke Hospital Jiwar di Jabal Omar menaiki ambulans manakala saya menaiki kenderaan askar ke hospital tersebut,” katanya.
BACA : 5256 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Tanah Suci
Bagaimanapun, Abdullah disahkan meninggal dunia di hospital.
“Saya sempat membantu mutawif memandikan jenazah Abe Loh. Saya lihat wajahnya, alhamdulillah sampai dia meninggal tiada perubahan, mukanya, tubuh badan dia cantik,” kongsinya lagi.
Jelas Ashri lagi, sebelum melakukan tawaf sunat, mereka sempat minum air zamzam dan merakam gambar bersama semua ahli bilik.
Allahyarham Abdullah merupakan jemaah haji kedua Malaysia yang meninggal dunia di Mekah.
Terdahulu, pada Jumaat lalu, seorang jemaah haji wanita, Norizah Tambunan Nordin, 47, meninggal dunia di hadapan Kaabah sebaik tiba dari Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







