Melaka tawar 1,000 unit rumah mampu milik untuk golongan B40
MELAKA – Sebanyak 1,000 unit rumah teres di bawah program Rumah Mampu Milik (RMM) kini ditawarkan kepada golongan berpendapatan rendah di Melaka, selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk merealisasikan sasaran satu keluarga satu rumah.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata, inisiatif ini dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan Melaka (LPM) melalui perjanjian pembangunan RMM yang dimeterai bersama TT Gratia Land Development Sdn Bhd dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027.
“Bagi memenuhi hasrat kerajaan negeri melihat satu keluarga satu rumah di Melaka, kita tawarkan projek ini jadi rebutlah peluang memiliki RMM di bawah nilai RM200,000.
“Melaka adalah negeri yang memiliki harga pasaran rumah terendah di Malaysia,”katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan RMM antara LPM dan TT Gratia Land Development di Seri Negeri, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf menjelaskan bahawa projek pembangunan ini merangkumi pelbagai komponen, termasuk 100 unit Rumah Kos Rendah (RKR) dengan harga RM70,000 seunit dan 100 unit Rumah Kos Sederhana Rendah (RKSR) berukuran 20 x 65 kaki pada harga RM120,000 seunit.
“Selain itu, sebanyak 778 unit Rumah Mampu Milik (RMM) jenis A akan dijual pada harga RM180,000 seunit (20×70 kaki), bersama 20 unit kedai dengan harga RM250,000 seunit.
“Saya yakin projek RMM di kawasan Machap ini akan memberikan impak positif kepada sosioekonomi setempat serta merancakkan lagi pembangunan RMM di Melaka,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan TT Gratia Sdn Bhd, Datuk Dr. Tan Wei Joon, menyatakan bahawa kerjasama pertama syarikatnya dengan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) diharapkan dapat membantu golongan berpendapatan rendah merealisasikan impian memiliki rumah pertama.
“Pemohon perlu memohon melalui laman web Lembaga Perumahan Melaka dan hanya yang layak memenuhi kriteria akan dipilih. Senarai perumahan ini hanya akan dibuka untuk tempahan bermula pertengahan tahun hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Rakyat Trustee Berhad (RTB), Faudzi Mt Din berkata, pihaknya akan bertindak sebagai pemegang amanah untuk dana pelaburan bagi memastikan kelancaran projek hartanah tersebut mengikut perjanjian yang telah dimeterai serta memantau tadbir urus semua pihak yang terlibat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






