
Mek Yun puji sembelihan haiwan umat Islam sebagai penuh beradab
KUALA LUMPUR – Selebriti media sosial, Mek Yun menarik perhatian netizen apabila mempertahankan amalan ibadah korban yang dilaksanakan oleh umat Islam sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Melalui satu perkongsian di @Threads, pempengaruh berasal dari Kelantan itu melahirkan rasa kurang senang dengan tindakan pihak tertentu yang membangkitkan sentimen negatif dengan melabelkan sembelihan haiwan korban sebagai satu perkara yang kejam.

“Mek Yun perasan ada segelintir orang yang susah nak terima atau mempertikaikan amalan korban masa Raya Haji — bab sembelih haiwan.
“Untuk orang Islam, sembelihan dibuat dengan penuh beradab ikut sunnah, bukan secara kejam,” tulis Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Mun Nee.
Malah, beliau turut memuji amalan ibadah korban yang dilakukan selama empat hari bermula 10 hingga 13 Zulhijjah itu.
“Ia melambangkan pengorbanan, keikhlasan dan semangat berkongsi rezeki. Daging korban pun diagihkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau juga menggesa khalayak agar lebih bersikap terbuka dan saling menghormati kepercayaan masyarakat yang berbilang agama di negara ini.
“Kita semua datang dari latar belakang dan kepercayaan yang berbeza. Tapi dari situ juga kita belajar untuk faham dan hormat antara satu sama lain,” katanya lagi.
Sementara itu, rata-rata pengguna media sosial melahirkan rasa kagum dan hormat terhadap pandangan Mek Yun.
“Orang baik-baik macam Mek Yun akan Nampak kebaikan. Sayang Mek Yun,” komen @aliya_ameraa18.
“Steady Mek Yun. Dah la cantik, bijak, tinggi, berkerjaya, pandai, lemah lembut. Aduhai,” tulis @waknikhipster.
“Betul, Mek Yun. Lagipun haiwan yang dikorbankan itu dagingnya disedekahkan pada orang fakir dan miskin yang jarang dapat makan daging. Bukan untuk dibazirkan,” kata @amir.zani pula.
Ibadah korban merupakan satu tuntutan agama oleh umat Islam yang dilakukan sebagai tanda mengingati pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang bersedia mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS bagi menjunjung perintah Allah SWT.
Ia dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijjah dan hari-hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah mengikut kalendar Hijrah.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |