BERITA SEMASAPMX

Lebih 100 syarikat sertai Sesi Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia-Itali

ROM – Kerjasama dua hala Malaysia-Itali terus berkembang ke tahap yang lebih strategik dan berimpak tinggi apabila lebih 100 syarikat dari Malaysia dan Itali menyertai Sesi Meja Bulat Perkongsian Ekonomi yang berlangsung di Rom semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesi yang dipengerusikannya bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Itali, Antonio Tajani itu disertai pemain utama dalam sektor pembuatan, perkhidmatan, perdagangan dan industri berteknologi tinggi.

Jelas Anwar, perkongsian itu sekali gus mencerminkan iltizam bersama dalam membuka ruang pelaburan strategik serta memperkukuh kerjasama dua hala yang lebih berimpak tinggi.

“Dalam landskap global yang semakin mencabar, kestabilan dan keamanan antarabangsa menjadi asas penting kepada kemakmuran ekonomi serta peluang sinergi rentas sempadan yang perlu dimanfaatkan oleh komuniti perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, Malaysia kekal komited terhadap prinsip perdagangan bebas dan terbuka sebagai teras kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif, mampan dan berdaya tahan.

Menurut beliau, sesi meja bulat itu turut memperkukuh keyakinan syarikat-syarikat Itali terhadap dasar keterbukaan, kecekapan tadbir urus dan daya saing ekonomi Malaysia, sekali gus membuka prospek kerjasama yang lebih luas.

Baca juga : Malaysia hargai komitmen Itali perkukuh hubungan rentas benua

Beliau berkata, antara sektor berpotensi tinggi yang dikenal pasti termasuk tenaga boleh baharu, teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon, pertahanan, ekonomi digital.

Selain itu, sektor lain turut merangkumi aeroangkasa dan industri berteknologi tinggi, iaitu bidang yang menjadi tonggak utama kepada agenda reformasi ekonomi negara.

“Penyertaan aktif syarikat-syarikat terkemuka dari kedua-dua negara menyerlahkan potensi perkongsian yang berpaksikan nilai tambah, inovasi dan kepentingan bersama,” tambahnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button